Kadar baja kelapa sawit yang disyorkan

Salam,

Entri pada kali ini saya ingin menyentuh berkenaan kadar pembajaan yang seimbang untuk diberikan kepada pokokkelapa sawit agar dapat mencapai pertumbuhan yang optimum dan seterusnya memberikan hasil yang lumayan. Jenis baja yang digunakan dalam komendasi ini adalah baja berbutir sebatian 44, baja tunggal Rock Phosphate dan GML. Bagi memudahkan penentuan kadar baja saya akan bahagikan kepada 3 fasa umur yang berlainan. Jadual pembajaan yang disyorkan adalah sebagaimana berikut.

FASA 1 (1-3 tahun)
Umur 1 bulan – Baja Rock phosphate - kadar 1.0 kg/pokok/tahun
Umur 2 bulan - Baja Sebatian 44 - kadar 0.5 kg/pokok/tahun
Umur 4 bulan – Baja GML – kadar 0.5
Umur 6 bulan – Baja Sebatian 44 + boron – kadar 0.5 kg/pokok/tahun
Umur 8 bulan – Baja Sebatian 44 – kadar 0.5 kg/pokok/tahun
Umur 12 bulan – Baja Sebatian 44 + boron -kadar 0.kg/pokok/tahun
Jumlah 3.5kg/pokok/tahun
Umur 2 tahun
- Baja Sebatian 44 – kadar 1.0kg/pokok/pusingan (3 kalipusingan setahun)
- Baja Rock phosphate – kadar 1.5kg/pokok/tahun
- Baja Sebatian 44 + boron – 1.5kg/pokok/tahun
Jumlah 6.0 kg/pokok/tahun
Umur 3 tahun
- Baja Sebatian 44 – kadar 1.5kg/pokok/pusingan (2 kali pusingan setahun).
- Baja Rock phosphate – kadar 1.5kg/pokok/tahun
- Baja GML – Kadar – 1.5kg/pkok/tahun
- Baja Sebatian 44 + boron- kadar 2.0kg/pkok/tahun
Jumlah 6.5 kg/pokok/tahun

FASA 2 (4-20 tahun)
Umur4-6 tahun
- Baja Sebatian 44 – kadar 2.0kg/pokok/pusingan (2 kali pusingan setahun)
- Baja Sebatian 44 + boron – kadar 2.0kg/pokok/tahun
- Baja Rock phospate – kadar 1.5kg/pokok/tahun
- Baja GML – kadar 1.5kg/pokok/tahun
Jumlah 9.0kg/pokok/tahun
Umur 7-20 tahun
- Baja Sebatian 44 – 2.5kg/pokok /pusingan (2 kali pusingan setahun)
- Baja Sebatian 44 + boron – kadar 2.5kg/pokok/tahun
- Baja Rock phospate – kadar 2.0kg/pokok/tahun
- Baja GML – kadar 2.0kg/pokok/tahun
Jumlah 11.5kg/pokok/tahun

FASA 3 (21 tahun hingga tebang)
Umur 21 tahun dan keatas
- Baja Sebatian 44 – kadar 2.0kg/pokok/pusingan (3 kali pusingan setahun)
- Baja Rock phospate – 2.0 kg/pokok/tahunJumlah
Jumlah 8.0 kg/pokok/tahun

Anggaran baja yang disyorkan adalah berdasarkan hasil BTS 25 mt/ha/tahun atau 61.75 mt/ekar/tahun di tanah kawasan pendalaman. Sekiranya hasil tahun sebelumnya adalah melebihi 30 mt/ha/tahun, maka tambahkan lagi 2 pusingan sebatian 44 atau tambahkan baja tunggal MOP sebanyak 0.5 hingga 1kg/pokok dan 1kg baja AS/pokok. Sekiranya hasil tahun sebelumnya adalah kurang daripada 20 mt/ha, maka potonglah 1-2 pusingan baja sebatian 44.

Kadar yang disyorkan juga boleh diubahsuai mengikut kesuburan tanah sebagaimana berikut.
- Tanah pesisir pantai yang bertekstur loam liat atau liat dengan saliran yang baik seperti dibahagian pantai barat Semenanjung terutamanya di Batu Pahat dan Pontian – kurangkan satu pusingan sebatian 44.
-Tanah pesisir pantai yang bertekstur pasir – digalakkan untuk menambah 2 pusingan sebatian 44 lagi, akan tetapi kadar yang disyorkan bagi setiap pusingan dipotong kepada 30-50%.
- Adalah disyorkan supaya mengambil sampel daun untuk dianalisa sekurang-kurangnya 2-3 tahun sekali bagi memastikan zat-zat makanan yang diberikan menepati keperluan pokok kelapa sawit dengan seimbang.

Kadar yang disyorkan hanyalah sebagai panduan sahaja. Bagi menghasilkan program pembajaan yang seimbang dan memenuhi keperluan makanan pokok kelapa sawit, maka analisa-analisa seperti analisa daun, tanah, keadaan cuaca dan sebagainya adalah perlu.

Sekian.
READ MORE » Kadar baja kelapa sawit yang disyorkan

Baja organik cecair


Salam,

Fuhhhhh, betul-betul sibuk bulan lepas sampai nak update blog pun tak sempat.  Hari ini barulah dapat jengok-jengok sikit blog sawitbiz ini.  Rupa-rupanya ramai juga yang singgah di blog sawitbiz ini.  Minta maaf banyak-banyaklah ye sebab lama sangat rasanya tidak di updatekan.

Bagi memulakan bicara pada kali, izinkan saya untuk mengupas isu baja cecair bioorganik.  Sebenarnya, sudah lama saya berhasrat untuk bercerita berkenaan baja bioorganik cecair ni.  Kebetulan pula, ada satu group daripada pengilang baja bioorganik cecair berjumpa dengan saya untuk memperkenalkan produk mereka.

Sebenarnya sebelum ini terdapat juga beberapa pembekal dan pengilang yang berjumpa dengan saya dan minta maaf saya katakana, saya terpaksa menolak mereka ni mentah-mentah.

Baru-baru ini juga saya ada terbaca iklan baja bioorganik cecair dariapda jenama lain di dada akhbar.  Saya rasa tidak perlulah untuk saya mendedahkan jenama tersebut.  Apa yang penting ialah cara pemasaran mereka yang menyakinkan walaupun bertentangan dengan hukum asas alam itu sendiri. Mereka ada satu stereotaip yang sama dan selalu menggunakan kaedah promosi yang lebih kurang sama. Antaranya, ‘tidak perlu baja inorganik’,  ‘biarkan mikrob hasilkan zat makanan kelapa sawit”, “wang jimat, kadar dos yang rendah, hasil tinggi”,  “baja lengkap, tidak perlu tambahan” , “cuba ubah mindset anda” dan pelbagai ayat-ayat promosi lain yang mengujakan.  Bukti dan testimoni pula diambil daripada ladang-ladang kecil yang datanya tidak sampai 2 tahun.  

Ada juga yang menunjukkan saiz tandan yang besar yang mencapai sehingga 100kg. Apabila ditanya berapa kadar yang direkomendasikan , jawapannya mudah, tidak perlu banyak. Kenapa tidak perlu banyak? Sebab baja ini ada mikrob yang boleh menguraikan zat makanan daripada tanah.  Dan yang paling kelakar apabila saya bertanyakan soalan adakah produk ini sesuai ditanah berpasir yang kandungan mineralnya 100% SiO2 tanpa perlu diberikan baja tambahan.  Tanpa ragu-ragu mereka menjawab ya 100% boleh malah kononya baja mereka boleh memperbaiki struktur tanah berpasir dan seterusnya meningkatkan hasil.

Kadang-kadang nak marah pun ada, kelakar pun  ada. Kalau tak tahu jangan membabi buta bagi jawapan. Ini yang saya katakan bertentangan dengan alam.  Kalau dikawasan gambut mungkin saya boleh terima sebab kawasan tersebut kaya dengan zat makanan yang terhasil daripada pereputan bahan organik.

Secara asasnya adalah mudah. Setiap benda hidup perlukan makanan.  Ini termasuklah mikrob. Ia juga perlukan makanan dan makanan mereka adalah bahan organik yang kaya dengan karbon.  Jadi kalau ditanah 100% berpasir, mana nak cari bahan organik.  Okeylah, mungkin boleh ditambah dengan biokompos dan masaalah makanan boleh selesai dan katakanlah mikrob ini boleh hidup.  Jadi bagaimana pula dengan zat makanan yang boleh dihasilkan oleh mikrob untuk pokok kelapa sawit ini? Anda rasa dari mana agaknya mikrob ini boleh mencari punca zat makanan? Okeylah kalau Nitrogen mungkin boleh, sebab boleh didapati dengan banyaknya diudara. Bagaimana pula dengan zat makanan yang lain seperti potassium, phosphorus, magnesium dan lain-lain sedangkan pasir tersebut hanya ada 100% SiO2.

Yang keduanya pula berkenaan dengan dos rendah yang digunakan.  Ada dos yang hanya perlukan sebanyak 2 sudu makan per pokok per aplikasi. Kalau 4 kali aplikasi dalam setahun, maka ia bersamaan dengan 8 sudu makan yang juga bersamaan dengan 80ml.  Ada juga yang menaikkan dos sehingga satu liter atau 1kg/pokok/tahun.

Hasil tandan sawit untuk satu pokok dalam masa setahun adalah leih kurang 150kg-200kg.  Andaikan 5% daripada berat tandan adalah zat makanan seperti N,P,K,Mg dll yang terdapat dalam tandan tersebut.  Ini bermakna terdapat lebih kurang 7.5kg hingga 10kg zat makanan yang terdapat didalam tandan-tandan seberat 150-200kg. Andaikata kesemua 1liter atau 1kg zat makanan yang diberikan  boleh diambil oleh pokok kelapa sawit, adakah hasil boleh mencapai sehingga 150kg berat tandan-tandan segar?  Kalau dikira secara terus, maka 1kg baja bioorganik cecair hanya boleh menghasilakan jumlah berat tandan sekitar 1kg/5% = 20kg sahaja.

Kalaupun mikrob boleh menguraikan zat makanan daripada tanah-tanih, namun perlu diingat kebanyakkan ladang-ladang dan kebun-kebun kecil kelapa sawit juga telah diguna pakai untuk tanaman sawit sekurang-kurangnya untuk 2 generasi tanaman kelapa sawit.

Jadi adakah anda rasa masih ada lagi zat makanan yang tinggal yang boleh di uraikan oleh mikrob.  Saintis tanah juga menyatakan bahawa tanah-tanih di Malaysia adalah yang paling tidak subur.  Malah jumlah populasi manusia juga boleh dikatakan sebagai indikator kesuburan tanah sesebuah negara.  Tidakkah anda terfikir kenapa jumlah populasi di negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina adalah lebih tinggi daripada di Malaysia.  Kesuburan tanah-tanih mereka adalah diakui contohnya Indonesia dan Filipina yang diliputi oleh tanah gunung berapi yang kaya dengan zat-zat makanan, manakala Thailand pula mempunyai kawasan delta yang luas dan subur. Secara rasionalnya sejarah penempatan dan perkembangan populasi manusia adalah berkait rapat dengan kawasan-kawasan yang subur.  Jadi secara asasnya, tanah di Malaysia memerlukan baja luar yang mencukupi bagi menampung keperluan tanaman itu sendiri terutamanya kelapa sawit yang mempunyai permintaan yang tinggi terhadap zat-zat makanan.  Dari itu berhati-hatilah apabila berhadapan dengan pembekal baja bioorganik tidak kiralah cecair ataupun berbutir.

Saya akui ada keperluannya mirkob, namun ia hanyalah sekadar makanan tambahan dan ia memerlukan kompos atau bahan-bahan organik lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Sekian
READ MORE » Baja organik cecair

Ladang digital

Salam,

Apa yang dimaksudkan dengan ladang kelapa sawit digital?  Tentu anda terbayangkan penggunaan sistem perkomputeran yang canggih yang saling berhubung diantara satu sama lain dalam pengurusan ladang.   Mungkin ada juga yang berimaginasi seperti apa yang berlaku dalam cerita 'TRON' atau mungkin juga ada yang mengambarkan sebuah ladang yang diuruskan oleh sistem robot bersepadu termasuk kerja-kerja penyelengaraan ladang.  Terbayang juga betapa selesanya pengurus
ladang yang memantau kerja-kerja operasi harian ladang melalui monitor besar didalam pusat kawalan bersepadu yang berhawa dingin.

Apa yang dimaginasikan adalah tidak mustahil untuk direalisasikan satu ketika nanti asalkan ada penyelidikan berterusan yang berfokuskan kepada potensi penggunaan teknologi Mechatronic dalam operasi harian di ladang kepala sawit.  Kecewa juga apabila diperhatikan bahawa kajian penggunaan teknologi  Mechatronic masih lagi ditahap yang masih tidak memuaskan.  Sepanjang lebih 10 tahun saya berkecimpung dalam industri sawit ini, masih belum ada hasil kajian yang dibentangkan walaupun pada peringkat perintis.  Apa yang sering diuar-uarkan dan kebanyakkan topik yang dipresentasikan dalam mana-mana seminar adalah bersandarkan kepada kajian dalam bidang bioteknologi.

Saya akui kajian biotek mempunyai impak yang besar kepada industri kelapa sawit, namun, kempen atau promosi kerajaan juga mestilah seimbang dengan penggunaan teknologi Mechatronic, lebih-lebih lagi dengan kekurangan tenaga pekerja untuk operasi harian ladang kelapa sawit.  Kajian terhadap penjenteraan (mechanization) ladang adalah masih lagi tidak mencukupi.  Suntikan intergrasi kejuruteraan mekanikal, elektronik dan perkomputeran adalah yang terbaik untuk dijadikan ramuan asas dalam bidang penyelidikan kejuruteraan ladang kelapa sawit.  Diharap satu hari nanti dengan hasil penemuan kajian Mechatronic,  industri sawit akan terus berkembang ke satu peringkat yang lebih maju dan tidak gentar dengan tuntutan buruh yang tinggi dan sentiasa tidak mencukupi.

Okeylah, saya tidak bercadang untuk mengupas hal Mechatronic ini dengan lebih panjang lebar.  Ia juga telah dibincangkan dalam entri yang lepas.  Pembaca boleh merujuk kepada entri 'Advance Mechanization' untuk mengetahui apa yang saya maksudkan dengan teknologi Mechatronic.  Apa yang saya maksudkan dengan Ladang Kelapa Sawit Digital ini adalah lebih berfokuskan kepada teknologi maklumat yang kini sedang dipraktikkan oleh syarikat  perladangan besar di ladang-kadang kelapa sawit milik mereka.  Saya berpendapat bahawa teknologi maklumat bersepadu di ladang kelapa sawit adalah teknologi dasar atau tapak bagi menyediakan atau mendedahkan ladang kelapa sawit kepada teknologi yang lebih maju iaitu teknologi yang berteraskan kejuruteraan  Mechatronic dan perkomputeran.
 
Teknologi maklumat bersepadu di ladang kelapa sawit adalah teknologi intergrasi diantara pemetaan GPS, sistem informasi geografi (GIS) dan sistem pengkalan data (DBMS).  Tidak ketinggalan juga penggunaan imej satelit dan foto udara. Potensi penggunaan 'Wave length' kanopi pokok kelapa sawit bagi menganalisa status nutrisi pokok kelapa sawit dan juga tahap kesihatannya adalah masih ditahap kajian.

Proses pendigitalan ladang kelapa sawit boleh dilakukan dengan melantik juruukur GPS.  Kadar pemetaan GPS ialah diantara RM8.00 hingga RM15.00 untuk sehektar bergantung kepada tujuan pemetaan tersebut.  Sekiranya anda perlukan sebuah peta digital yang lengkap dan terperinci yang termasuk pemetaan kawasan teres, sistem pengairan, jalan, kawasan rata dan tinggi dan juga pengesahan secara tindihan dengan pelan akui, maka sudah tentu harganya adalah lebih tinggi berbanding pemetaan asas sahaja.

Sebenarnya, pemetaan GPS boleh dilakukan sendiri asalkan kawasan tanaman sawit melebihi 500 ha.  Adalah tidak berbaloi bagi pekebun kecil yang mempunyai  keluasan kurang daripada 500ha untuk memiliki peralatan sendiri kerana bukan sahaja ianya agak mahal malah ia memerlukan pelukis peta digital yang mahir dengan perisian GIS.

Peralatan yang diperlukan adalah seperti berikut:-

1. Alat penerima GPS.
Ia digunakan untuk pengambilan geo-koordinat dilapangan atau secara mudahnya, ia digunakan untuk pemetaan diladang kelapa sawit.  Koordinat jalan, sungai, sempadan, bangunan dan sebagainya diambil menggunakan alat penerima GPS ini.

Terdapat 2 jenama yang biasa digunakan oleh pihak perladangan kelapa sawit.

    •  Jenama Trimble - Model GeoXM berharga RM12000, ketepatan submeter  - Model GeoXT berharga RM35000, ketepatan 2-3m.
    • Jenama Garmin - Model 76cx berharga RM1600, ketepatan <10m, perlu modifikasi data sebelum dapat dibaca oleh Mapinfo.


2. Perisian GIS -
Perisian GIS ini adalah penting bagi menghasilkan sebuah map digital.  Pengukuran keluasan blok dan jalan dapat dilakukan dengan mudah dan tepat melalui perisian GIS ini. Malah sistem maklumat bersepadu tanaman kelapa sawit atau pendigitalan ladang kelapa sawit adalah sukar dilaksanakan tanpa perisian GIS.
Terdapat banyak perisian GIS namun yang paling popular dalam perladangan kelapa sawit adalah perisian   Mapinfo.  Harga Mapinfo ver 10.5 adalah sekitar RM8000  Selain daripada itu ialah perisian ARCview. Harganya mahal sedikit berbanding dengan Mapinfo.

3. Sistem Pengurusan Data (DBMS).
Sistem DBMS ini digunakan sebagai platform pengumpulan data-data ladang kelapa sawit seperti data hasil buah tanda segar (BTS/FFB), data keluasan ladang, data hujan, data pembajaan, data penyakit, data tanah data status nutrisi pokok kelapa sawit dan sebagainya.  Perisian yang biasa digunakan ialah Access, SQL dan sebagainya.  Ada juga perisian yang telah tersedia dengan template dan analisa yang perlu seperti program OMP yang berteraskan Access, program Plantware dan sebagainya.  Program-program ini kemudiannya di intergrasikan dengan perisian GIS bagi menghasilkan pemetaan digital yang bersepadu seperti pemetaan hasil, pemetaan tanah  dan sebagainya.

Selain daripada pemetaan GPS, imej satelit dan photo udara juga digunakan bagi melengkapkan sistem teknologi digital bergrafik.  Imej-imej digital samada daripada satelit atau foto udara boleh digunakan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan.  Keadaan sesebuah ladang dapat dikenalpasti melalui imej-imej digital ini.  Pada masa kini imej digital ini digunakan untuk inventori pokok kelapa sawit, pengimejan 3D model bagi menghasilan model bentuk muka bumi ladang dan juga 'planting design system' termasuk mereka bentuk teres dan jumlah teres yang optimum untuk sesebuah cerun atau tanah tinggi atau kawasan bukit-bukau. Ia juga termasuk merekabentuk sistem jalan dan 'drainage' yang ekonomik bersesuaian dengan keadaan muka bumi sebelum proses penanam kelapa sawit dijalankan.

Teknologi satelit  bersepadu ini juga digunakan bagi menganggarkan bajet tanaman kelapa sawit dengan kadar ketepatan yang tinggi.  Kontraktor yang terlibat dalam operasi penanaman kelapa sawit boleh dipantau dengan mudah.  Sebarang ketidakpuashatian antara pihak pengurusan ladang dan kontraktor penanaman kelapa sawit boleh diselesaikan dengan mudah dan berhemah.

Saya berhenti disini dulu ya.  Teknik pengambilan data dan pemetaan yang efektif menggunakan GPS akan saya bincangkan pada entri yang akan datang.  Saya akan bincangkan juga bagaimana anda boleh menggunakan imej satelit yang percuma daripada ‘google earth’ untuk tujuan pengurusan ladang.

Sekian.

READ MORE » Ladang digital

Baja Kimia

Salam,

Secara amnya baja kimia terbahagi kepada dua sumber utama.  Baja yang diperolehi daripada sumber semulajadi iaitu melalui perlombongan dan juga baja sintetik iaitu baja buatan di kilang. Baja-baja ini kemudiannya dibahagikan kepada  3 jenis utama iaitu:-


Baja lurus .

Baja yang mengandungi satu atau dua zat makanan perlu sahaja.  Baja ini adalah tidak lengkap kerana tidak terdapat zat-zat makanan perlu yang lain contohnya baja lurus jenis Muriate Of Potash (MOP), baja ini  hanya mengandungi zat makanan 60%K2O atau Kalium sahaja, manakala  Rock Phosphate pula mengandungi 29% P2O5 atau Phosphate dan Kalsium sahaja.  Kebiasaannya 4-5 jenis baja lurus diperlukan bagi melengkapkan keperluan pemakanan kelapa sawit.

Kelebihan baja lurus ialah kandungan zat makanan yang tinggi dan harga yang lebih rendah.  Contohnya, AN mengandungi 34% N, 29% P2O5 dalam RP,  60%K2O dalam MOP dan 27% MgO dalam Kieserite berbanding hanya  12%N, 6%P2O5, 22% K2O dan 3% MgO dalam baja sebatian (12:6:22:3).
Kelemahannya pula ialah keperluan bagi kekerapan aplikasi baja yang tinggi dan potensi segregasi dan antagonistik yang boleh berlaku apabila selang hari aplikasi untuk  baja MOP dan Kieserite terlalu singkat atau kurang daripada 2 minggu.  Hal ini akan meningkatkan risiko kehilangan baja kerana akar  hanya akan mengambil satu zat makanan sahaja, kebiasaanya hanya zat makanan Kalium dan meninggalkan zat makanan Magnesium  yang kemudiannya akan hilang melalui larut resap.  Segregasi pula boleh berlaku apabila baja berasid seperti Ammonium Nitrate diaplikasikan bersama baja beralkali seperti Rock Phosphate.

Baja jenis ini tidak popular dikalangan pekebun kecil kerana aplikasinya agak cerewet dan memerlukan pengetahuan agronomi untuk memprogramkan kadar rekomendasi yang sesuai dan seimbang dengan keperluan pokok kelapa sawit.

Lain pula dengan syarikat perladangan besar, baja lurus adalah biasa digunakan diladang-ladang mereka.  Ini adalah kerana harganya yang lebih murah dan kandungan zat makanan yang tinggi.   Tambahan pula syarikat perladangan besar kebiasaanya mempunyai jabatan atau unit agronominya sendiri yang boleh membuat rekomendasi baja yang lebih tepat dan seimbang.

Baja campuran.

Baja campuran adalah baja yang dicampur diantara 2 atau lebih baja lurus.  Proses percampuran baja adalah hanya melibatkan percampuran secara terus atau secara fizikal tanpa melibatkan proses pemanasan dan kimia.  Proses campuran adalah berdasarkan nisbah-nisbah tertentu dan boleh dilakukan secara skala kecil dengan menggunakan cangkul atau mesin campur simen atau juga secara berskala besar di kilang-kilang baja.  Walaubagaimanapun  tidak semua jenis baja lurus boleh dicampurkan diantara satu sama lain kerana tidak sesuai disebabkan ciri-ciri antoginistik dan segregasi sebagaimana yang telah diterangkan diatas.

Kelebihan baja ini adalah menjimatkan masa aplikasi kerana 2 atau lebih jenis baja lurus dapat diaplikasikan serentak.  Baja ini juga adalah lebih murah berbanding baja sebatian akan tetapi lebih mahal berbanding baja lurus.

Kelemahannya ialah tidak semua baja boleh dicampur dan zat makanan dalam baja campuran terdedah kepada risiko ketidakseragaman dan luar daripada spesifikasi peratusan zat makanan.  Contohnya, dalam satu beg baja campuran dengan spesifikasi nisbah 30%MOP dan 17%AN mempunyai potensi yang tinggi untuk mempunyai kadar nisbah yang berlainan seperti 25%MOP dan 20%AN.  Implikasi luar spesifikasi akan mempengaruhi ketepatan kadar baja yang telah direkomendasikan yang berdasarkan kepada spesifikasi yang diberikan oleh pihak pengilang.

Baja sebatian.

Baja sebatian adalah sejenis baja campuran yang melalui proses campuran fizikal, kimia, pemanasan, penyejukan dan pengranularan.

Kelebihan baja sebatian ialah mudah digunakan.  Baja jenis ini dapat membekalkan zat-zat makanan yang hampir lengkap kepada pokok kelapa sawit.  Baja sebatian yang popular adalah dari jenis sebatian 44.  Kadungan zat makanan adalah hampir lengkap iaitu (12%N):(6%P2O5):(22%K2O)(3%MgO)
Kelemahannya pula ialah harganya lebih mahal berbanding baja lurus dan campuran.  Zat makanan nitrogen pula terdedah kepada risiko pemeluapan (kehilangan N ke udara) lebih-lebih lagi bila baja ditabur pada musim panas.  Ini adalah keranan kebanyakkan baja sebatian menggunakan Urea sebagai sumber zat makanan nitrogen didalam baja sebatian mereka.

Ada sesetangah baja sebatian yang tidak berkualiti.  Harga baja sebatian yang tidak berkualiti agak murah sedikit, namun risiko kehilangan zat makanan adalah tinggi dengan menggunakan baja-baja yang murah.  Risiko yang pertama ialah peratusan zat unsur makanan kurang daripada apa yang dinyatakan atau tidak memenuhi speksifikasi.

Keduanya, menggunakan granular yang tidak berkualiti.  Kebiasaannya, granular yang tidak berkualiti akan lambat larut selepas ditabur.  Kadangkala, granular tersebut masih kelihatan diatas tanah walaupun setelah 3 bulan ditabur.  Keadaan ini boleh meningkatkan kehilangan zat makanan melalui air larian apabila hujan lebat.
Sememangnya diakui sebahagian zat makanan telah dilepaskan daripada granularnya.  Namun persoalan yang timbul ialah berapa peratus yang telah dilepaskan dan berapa lama masa yang perlu diambil untuk 100% zat makanan dilepaskan? Sekiranya, ia mengambil masa sehingga 2-3 bulan, maka risiko untuk hujan lebat dalam jangkamasa ini adalah tinggi yang juga akan membasuh kesemua granular-granular bersama dengan zat makanan yang masih berbaki.

Pada pandangan saya adalah lebih baik kita mencuba beberapa jenis baja dahulu dengan kadar yang sedikit dan lihat keberkesanannya.  Ekperimen mudah ialah dengan menabur baja-baja sebatian didalm polibeg nurseri dan disiram setiap hari.    Bagi menjimatkan masa, beli beberapa jenis baja sebatian dalam bungkusan kecil dan jalankan ekperimen anda secara serentak.

Bagi mendapatkan keputusan yang agak tepat, anda boleh menyediakan replikasi iaitu satu jenis baja sebatian ditaburkan kepada sekurang-kurangnya 5 polibeg.  Sekiranya anda ingin menguji 3 jenis baja sebatian, maka anda perlukan 15 polibeg yang mana setiap satu jenis baja akan ditaburkan kepada 5 polibeg.

Lihat berapa lama masa yang diperlukan untuk granular larut.  Bandingkan ketiga-tiga jenis baja sebatian yang telah diuji.  Pilih baja yang menunjukkan kadar perlarutan yang paling cepat.  Mungkin aka nada polibeg yang lambat larut untuk satu-satu jenis baja sebatian.  Untuk ini, anda perlu ambil purata bagi setiap polibeg yang menunjukkan kadar larutan yang cepat.  Bandingkan purata bagi setiap jenis baja sebatian tersebut dan pilih purata yang terbanyak.

Walaubagaimanapun, jalan yang terbaik ialah pilih baja sebatian yang berjenama sperti CCM, YaraMilla, FPM, MPOB F1 dan Benh Mayer.  Walaupun harganya agak mahal sedikit namun kualitinya agak terjamin.
READ MORE » Baja Kimia

Baja Organik

Salam,

Pembajaan atau pemakanan atau nutrisi pokok kelapa sawit adalah antara faktor utama yang mempengaruhi hasil sesebuah ladang kelapa sawit selain daripada faktor-faktor seperti jenis tanah, cuaca, bentuk rupa bumi dan sebagainya.  Pokok kelapa sawit adalah antara kelompok tumbuhan yang mempunyai permintaan dan respon yang tinggi terhadap baja yang diberikan.  Dari itu aplikasi pembajaan kepada pokok kelapa sawit  adalah tidak boleh dikompromi walaupun terpaksa berbelanja lebih.

Harga baja yang kian meningkat selari dengan harga minyak mentah dunia sedikit sebanyak memberikan kesan terutamanya kepada  pekebun kecil.  Dianggarkan kos pembajaan kelapa sawit boleh mencapai sehingga 30% daripada kos pengeluaran BTS atau 50-60% daripada kos penyelengaraan.   Namun, pengusaha-pengusaha tanaman kelapa sawit masih lagi boleh menarik nafas panjang kerana paras harga minyak sawit mentah  yang agak tinggi pada kebelakangan ini.   Harga ini juga dijangka akan bertahan dalam tempoh sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun 2011.

Jenis-jenis baja
Baja boleh dibahagikan kepada 2 jenis utama iaitu baja kimia dan baja organik.

Baja Organik.

Baja organik ialah baja yang berasal daripada tumbuhan, hidupan atau bahan buangan daripada kedua-duanya yang telah lengkap mereput.  Proses pereputan samada secara semulajadi dan memakan masa yang agak lama atau melalui teknik pengkomposan dimana proses pereputan sempurna dapat dipercepatkan dengan menggunakan mikrob tertentu.   Proses pengkomposan juga boleh menyah bau terutamanya apabila menkomposkan tahi ayam.

Pereputan yang belum sempurna seperti, jerami padi dan sebagainya adalah tidak digalakkan untuk digunakan untuk tujuan pembajaan.  Proses pereputan memerlukan unsur nitrogen dan juga perlepasan ammonia ke udara.  Ini akan mengakibatkan persaingan untuk mendapatkan nitrogen diantara tanaman dan mikrob yang bekerja dalam proses pereputan disamping ketidakbolehkawalan perlepasan gas ammonia yang berbahaya kepada alam sekitar.

Baja organik mengandungi unsur karbon yang tinggi dan hanya sedikit zat-zat makanan yang lain.  Kelebihan baja organik ialah dapat memperbaiki dan memperelokkan struktur tanah.  Aplikasi baja organik dikawasan tanah berpasir akan dapat meningkatkan keupayaan menyimpan air dan zat-zat makanan.   Manakala dikawasan tanah liat pula, baja organik dapat mengemburkan tanah liat yang pada asalnya mempunyai stukrur padat.  ‘Fixation’ zat makanan fosfat atau unsur P oleh tanah adalah tinggi di kawasan tanah yang mengadungi kadungan Ferum yang tinggi.  Kehadiran bahan organik daripada aplikasi baja organik dapat mengurangkan ‘fixation’ ini dan seterusnya menjadikan unsur P dalam keadaan yang tersedia untuk diambil oleh akar.
Baja organik tidak mempunyai risiko keracunan kepada pokok kelapa sawit apabila kadar aplikasinya melebihi daripada keperluan pokok kelapa sawit tersebut.  Baja organik juga boleh bertindak sebagai sumber makanan dan persekitaran yang sesuai mikrob baik seperti ‘Michoriza’, ‘Trichoderma’, ‘Bacillus’, Yis dan sebagainya untuk bercambah dan berkembang.

Kelemahan baja organik ialah kadar aplikasi yang tinggi diperlukan bagi memenuhi keperluan zat makanan kelapa sawit disebabkan peratusan zat makanan yang sedikit.  Contohnya ialah EFB-kompos, bagi memenuhi keperluan zat makanan kelapa sawit, kadar yang mencukupi ialah antara 50-100kg/pokok/tahun berbeza dengan zat makanan bukan organik yang hanya perlu 7-11kg/pokok/tahun sahaja.  Kadar yang tinggi ini sudah tentu membebankan, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang kekurangan tenaga pekerja.  Jika dibandingkan harganya berdasarkan zat makanan seperti N,P,K, harga baja organik akan lebih tinggi berbanding dengan baja inorganik kerana peratusan N,P,K dalam baja organik kebiasaannya adalah lebih rendah berbanding baja inorganik.

Aplikasi yang terbaik ialah secara aplikasi kombinasi diantara baja organik dan baja inorganik.  Aplikasi sebegini dapat memenuhi keperluan zat makanan kelapa sawit.  Sebarang kekurangan zat makanan yang terdapat dalam baja organik boleh ditampung oleh baja inorganik.  Persoalan yang ditimbulkan dalam kombinasi aplikasi ini ialah berkenaan kebolehan hidup mikrob baik.  Dikhuatiri, mikrob akan musnah akibat baja inorganik yang berasid.

Namun pada saya, kombinasi aplikasi diantara organik dan inorganik adalah yang terbaik dalam memenuhi keperluan zat makanan kelapa sawit.  Baja organik berfaedah kepada tanah manakala baja inorganik pula boleh memenuhi keperluan zat makanan pokok kelapa sawit.  Zat makanan yang diberi pula mudah diambil oleh akar dengan kehadiran baja atau unsur organik yang boleh diumpamakan sebagi pelincir kepada akar.

Sekian.
READ MORE » Baja Organik

Pekerja ladang harus nikmati hasil kenaikan harga sawit : Muhyiddin

PUSA (SARAWAK) 18 Feb 2011  :- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kadar gaji pekerja ladang di negara ini masih lagi terlalu rendah sedangkan harga minyak sawit telah meningkat. Memandangkan rakyat tempatan kurang berminat untuk bekerja di sektor perladangan kerana gajinya yang rendah, kerajaan pusat menubuhkan satu majlis perundingan di Kementerian Sumber Manusia untuk membuat kajian semula kadar gaji pekerja ladang supaya setimpal dengan perkembangan industri perladangan.

"Pendapatan kerja di sektor perladangan tidak setimpal, sedangkan apa yang kita tahu seperti harga minyak sawit ketika ini merupakan antara yang terbaik, dan justeru itu pekerja yang bekerja di ladang sawit sepatutnya mendapat imbuhan gaji yang jauh lebih tinggi," katanya ketika berucap pada majlis tinjauan mesra di sini, hari ini.- BERNAMA

Komen Penulis

Saya tidak berapa bersetuju untuk menaikkan gaji pekerja ladang dengan alasan semata-mata harga minyak kelapa sawit yang tinggi.  Ini kerana harga minyak sawit adalah tidak tetapdan sentiasa terdedah kepada perubahan yang sukar dijangkakan.    Persoalannya, adakah kenaikkan gaji perlu diturunkan pula apabila harga minyak menurun?

Pada pandangan saya, mekanisma yang terbaik yang boleh menjamin situasi untung-untung diantara pekerja dan majikan ialah pemberian imbuhan tambahan yang mungkin berbentuk bonus atau insentif-insentif  lain asalkan pemberian tersebut adalah dalam bentuk wang ringgit.  Mekanisma pengiraan upah berdasarkan purata harga minyak sawit sebagaimana yang dipraktikkan dalam pengiraan upah penuai buah juga boleh diadaptasikan kepada pengiraan upah untuk kerja-kerja penyelengaraan lain seperti meracun, membaja dan sebagainya.  Mungkin sedikit modifikasi kaedah pengiraan perlu dilakukan agar bersesuaian dengan kerja yang dilakukan.

Kenaikkan gaji biarlah berdasarkan produktiviti seseorang pekerja tersebut.  Impak negatif  boleh berlaku apabila kenaikan gaji diberikan secara pukul rata tanpa mengira kebolehan seseorang.  Tindakan ini juga boleh mendatangkan ketidakpuashatian diantara pekerja.  Bayangkanlah apa perasaan pekerja A yang rajin dan sentiasa menyiapkan kerja tanpa curi tulang yang akan menerima kenaikkan yang sama dengan pekerja B yang sentiasa curi tulang. 

Saya juga kurang bersetuju kenyataan yang rakyat tempatan kurang berminat bekerja diladang kerana gaji yang ditawarkan adalah rendah.  Saya tidak fikir rakyat tempatan akan berebut-rebut bekerja diladang sekiranya gaji dinaikkan.  Pengalaman saya, pernah satu ketika, pekerja tempatan yang ditawarkan bekerja diladang sebagai penyelia dan beliau bersetuju dengan gaji ditawarkan, namun apabila tiba hari mendaftarkan diri, beliau tidak berbuat demikian walaupun telah tiba diluar pejabat ladang.  Beliau terus balik, mungkin melihat kedudukan ladang yang terletak jauh daripada pusat bandar, ditambah pula dengan jalan yang tidak berturap.  Ada juga yang hanya satu hari sahaja tahan bekerja diladang.  

Saya juga pernah bertanya kepada anak buah, sanggup atau tidak untuk bekerja diladang sekiranya ditawarkan dengan gaji yang sama dengan bekerja diindustri kilang elektronik dibandar, malah saya sebutkan juga tentang faedah lain seperti bonus tahunan yang besar, rumah tidak perlu disewa, subsidi air dan elektrik dan juga subsidi petrol, yang sebenarnya 2-3 kali lebih baik berbanding bekerja di kilang elektronik yang sering membuang pekerjanya.  Namun, respon yang saya dapat adalah mengecewakan.  Mereka langsung tidak berminat terutamanya apabila disebut lokasi ladang yang jauh dipendalaman.  Untuk ke temuduga sebagai penyelia ladang pun mereka tidak sanggup apatah lagi untuk memegang jawatan penyelia ladang yang akan menetap di ladang pada jangka masa yang lama. 

Apa yang boleh saya katakan bahawa wang bukanlah segalanya bagi rakyat tempatan,.  Mereka sudah mempunyai pilihan. Kalau 40-50 tahun dahulu, kemudahan dikampung adalah amat daif dengan jalan yang kecil dan tidak berturap berbanding dengan kemudahan diladang yang lengkap dengan air dan elektrik.  Pada masa tersebut, tidak hairanlah ramai rakyat tempatan  dengan rela hati meninggalkan kampung masing-masing untuk bekerja di ladang.

Sekarang zaman sudah berubah.  Hasil kemakmuran Malaysia, kemudahan di kampung hampir setaraf dibandar. Kebanyakkan jalan-jalan ke kampung juga telah diturap kecuali dibeberapa kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak. Pilihan pekerjaan juga adalah luas.  Kilang-kilang masih memerlukan pekerja.  Jika tidak manakan rakyat asing memenuhi kilang-kilang elektronik kita, sehingga kadang kala rakyat tempatan pula ditindas. 

Masalah mendapatkan pekerja akan tetap menghantui syarikat-syarikat perladangan walaupun gaji dinaikkan. Kebergantungan pihak ladang terhadap pekerja asing adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Pengurusan ladang kelapa sawit memerlukan nafas baru.  Kajian kejuruteraan ‘mechatronic’ bagi mencapai sistem mekanisasi maju perlu mendapat suntikan yang intensif supaya indutri sawit akan terus menerajui bekalan lelemak dunia yang ekonomik dan berkualiti tanpa memerlukan jumlah pekerja yang ramai. 

Sepatutnya, sebahagian kecil lebihan untung yang diperolehi oleh syarikat-syarikat perladangan yang besar disalurkan sebagai tambahan bajet R&D bagi tujuan membuat kajian ‘Mechatronic’ yang berfokuskan industri sawit. 

READ MORE » Pekerja ladang harus nikmati hasil kenaikan harga sawit : Muhyiddin

MPOC Seminar - Ulasan Topik 2

Salam,
Dalam entri lepas saya telah membincangkan secara ringkas 2 topik yang dibentangkan pada sessi pagi di seminar MPOC yang berlangsung pada 26 Januari 2011.  Pada sessi petang pula, 4 topik lagi dipresentasikan termasuk topik daripada Tan Sri Yusof Basiron, CEO, MPOC.  Pada penghujung sessi petang pula, peserta seminar diberi peluang untuk berdialog dengan  Menteri Industri perladangan dan Komoditi iaitu YB Tan Sri Bernard Dompok.

Datuk Dr Choo Yuen May, Director General, MPOB memulakan presentasi untuk sessi petang.  Topik yang dipresentasikan adalah bertajuk “The Untapped Potential of Palm Biomass & Its Potential Applications”.   Dalam presentasinya, beliau menyentuh tentang potensi biomass kelapa sawit yang masih belum lagi dikomersialkan secara signifikan.  Anggaran biomas kelapa sawit yang terhasil dalam tahun 2009 sahaja berjumlah kira-kira 158 juta tan.

Pecahan biomas kelapa sawit mengikut komponen adalah seperti berikut.
Pelepah Kelapa sawit yang dipangkas 42.21 Juta tan
Pelepah Kelapa sawit daripada penebangan 3.28 Juta tan
Batang kelapa sawit daripada penebangan 17.5 Juta tan
Tandan Kosong (EFB) kelapa sawit 20.99 Juta tan
Fiber Mesokap kelapa sawit 7.73 Juta tan
Isirung biji kelapa sawit 4.46 Juta tan
POME daripada kilang kelapa sawit 62 Juta tan
JUMLAH 158.17 Juta tan

Pada masa kini, majoriti penggunaan biomas kelapa sawit adalah tertumpu kepada aplikasi yang bertujuan mengembalikan semula nutrisi kepada pokok kelapa sawit.   Aplikasi yang biasa dilakukan adalah bentuk tandan kosong (EFB), POME, timbunan pelepah yang dipangkas semasa menuai dan batang  pokok kelapa sawit yang dicincang semasa tanaman semula.  Selain daripada itu, kitar semula nutrisi juga diaplikasikan melalui kompos yang dihasilkan daripada campuran EFB dan POME.

Manakala pihak kilang pula menggunakan biomas daripada ‘shell’ dan ‘mesocarp fiber ‘ kelapa sawit sebagai bahan bakar untuk menjana stim dan tenaga elektrik.  Terdapat juga sedikit penggunaan dalam bentuk biogas yang diperolehi melalui pemerangkapan di kolam POME.

Selain daripada aplikasi biasa, masih terdapat banyak lagi potensi biomas kelapa sawit.  Diantara potensi biomas kelapa sawit yang diketengahkan oleh Dr Choo adalah :-

  • Membekalkan tenaga elektrik secara sistem grid melalui biogas dan ‘Solid Fuel’.
  • Menghasilkan  ‘Solid Fuel’ dalam bentuk  fiber EFB, briket dan pellet melalui proses tekanan mekanikal.
  • Menghasilkan Bio-minyak, Biogas(syngas) dan Biocar melalui pemanasa pirolisis.
  • Menghasilkan Bioethanol melalui proses penapaian.
  • Menghasilkan minyak hidrokarbon.
  • Menghasilkan Biokomposit seperti particle board’, ‘Eco-pallet’, ‘oil palm plywood’, ‘pulp and paper product’.
  • Menghasilkan produk ‘phytochemicals’ seperti ‘Phenolics’ yang mempunyai nilai yang tinggi  untuk tujuan perubatan seperti substrat untuk mensintesis ‘tamiflu’ .  Phenolic yang terhasil daripada biomas kelapa sawit mempunyai potensi terbesar sebagai sumber asid ‘shikimic’ dunia.

Namun katanya dalam merealisasikan potensi biomas, terdapat beberapa isu dan cabaran.  Antaranya ialah penggunaan biomas yang kompetetif, lokasi ‘power plant’ bagi tujuan grid kuasa, ketidakpastian bekalan biomas, keperluan sokongan kewangan, kurangnya insentif dan kualiti minyak biomas yang tidak konsisten.

Ulasan dan pendapat –  Semangnya banyak biomas kelapa sawit dan potensinya memang tidak diragui lagi.  Saya rasa penggunaan yang berkesan dan ekonomik ialah kitar semula menjadi baja samada aplikasi secara terus atau proses sebagai kompos.  Kedua terbaik ialah menjana kuasa elektrik yang kini digunakan oleh pihak kilang.  Memerangkap biogas di kolam POME di akui berpotensi, Cuma was-was dengan harga yang boleh dijual kepada TNB.  Kalau kerajaan bersetuju guna kuasa nuclear, saya rasa teknologi biogas ni akan jadi gajah putih kecuali pihak kilang dapat insentif kerana memerangkap gas methane daripada terlepas ke udara.

Lain-lain teknologi seperti biokomposit tu, saya lihat ianya sukar untuk diperluaskan secara komersial.  Ianya tidak mustahil untuk dikomersialkan secara signifikan asalkan pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap teknologi hijau dan sanggup berbelanja lebih bagi membeli barangan berasaskan teknologi hijau.  Namun, apa yang dapat diperhatikan ialah kesedaran pengguna masih lagi rendah.  Sebagai contoh, masih ada yang sanggup membayar 20 sen untuk beg plastik pada hari bebas plastik.  Kedai-kedai kecil pula masih lagi membekalkan beg plastik pada hari sabtu.  Pengguna juga masih memilih polisterin pinggan pakai-buang daripada memilih pinggan-pakai buang yang berasaskan biomas kelapa sawit.  Alasannya, ia lebih murah dan mudah didapati.   Pada mereka, kalau guna produk pakai-buang mestilah cari yang murah.  Yelah, sekali pakai je, lepas tu kena buang.

Topik kedua untuk sessi petang adalah bertajuk “Methane capture and biomass utilization for power generation”.  Topik ini dibentangkan oleh Puan Sri Datin Dr. Liana Low, CEO, Bell Eco Power Sdn. Bhd.  Syarikat Bell adalah juga pelopor kepada teknologi hijau yang menggunakan biomas dan biogas kelapa sawit untuk menjana elektrik.

Secara ringkasnya tenaga elektrik yang dihasilkan bermula daripada Tangki POME kedap dimana POME akan mengalami proses ‘Anaerobic Digestion’ yang akan melepaskan gas methane.  Gas methane ini kemudiannya dialirkan dan ditulenkan sebelum ke sistem enjin biogas dimana kuasa elektrik akan dijanakan disini.  Kuasa elektrik yang terhasil kemudiannya dibekalkan kepada sub-station TNB untuk pengagihan kepada pengguna.  Untuk 2010, anggaran potensi tenaga elektrik yang boleh dijanakan daripada POME adalah 3,825 Gw setahun.

Ulasan dan Pendapat :- Nampaknya, topik ini lebih kepada promosi untuk BELL je.  Maklumlah, pelopor kepada teknologi pemerangkapan biogas dan penjanaan tenaga hijau.  Apa yang dibentangkan adalah sebahagian daripada teknologinya.  Kos dan tenaga yang digunakan untuk menukarkan 1 unit biogas kepada 1 unit tenaga elektrik tidak dinyatakan.  Ini yang penting dan perlu ditekankan baru tahu teknologi ini ekonomik ataupun tidak.  Kalau 2 joule diperlukan untuk hasilkan 1 joule, nak buat apa, mengabihkan beras je…. Seumpama masak 2 cupak beras tapi yang dapat hanya 1 cupak nasi je.

Topik ketiga yang bertajuk ‘The Global Climate Change Debate and Taxpayer Funded’ telah dibentangkan oleh Mr Roger Helmer, Member of the European Paliament, UK.  Beliau mengetengahkan isu perubahan cuaca yang sering menjadi topik hangat dalam kempen-kempen NGO.   Katanya, NGO nama sahaja organisasi bukan kerajaan yang kononnya bergerak secara sendiri, sebaliknya organisasi ini mendapat peruntukan besar bagi menaja aktiviti kempen yang dijalankan.  Masalah besar ialah mereka selalu melancarkan kempen yang beremosi tanpa berlandaskan fakta-fakta saintifik.  Industri sawit menjadi sasaran kempen yang dijalankan oleh NGO yang tidak berlandaskan fakta sebenar.  Namun Eropah masih lagi meneruskan polisi iklim yang pada beliau tidak ada keperluannya, tidak memberikan kesan dan sudah tentu menelan belanja yang besar.

Ulasan dan Pendapat :- Setuju dengan topik.   Diorang yang jalankan kempen ni semuanya mengarut je, ada yang lebih daripada apa yang berlaku.  Kempen NGO ini pulak selalunya berdasarkan emosi, bukannya fakta.   Kalau nak cakap pasal kenaikkan aras air laut akibat kecairan ais disebabkan penipisan ozon, saya setuju dengan Mr Roger ni, kejadian seperti ini memang dah berlaku beribu-ribu tahun dulu, kalau tidak percaya, boleh baca hipotesis dan bukti yang diberikan oleh pengkaji bumi (geologist), dulu Selat Melaka takde, kita boleh berbasikal untuk ke Sumatera.  Jadi apa kecohnya tentang kenaikkan aras laut.  Perulangan peristiwa ini akan berlaku juga walaupun tanpa penipisan ozon.   Okeylah bro Roger, keep it up dengan usaha murni.

Topik keempat yang bertajuk  ‘Preparing the industry for the opportunities and challenges of tomorrow’ adalah topik yang terakhir yang dibentangkan oleh CEO MPOC sendiri iaitu Tan Sri Yusof Basiron.  Topik yang berkisar tentang keunikan tanaman sawit, permintaan yang sentiasa meningkat sehinggalah berbicara tentang cabaran yang dihadapai oleh industri kelapa sawit yang juga termasuk kempen anti-kelapa sawit dan apa yang telah pihak MPOC lakukan untuk menangkis segala tomahan dan dakyah buruk yang dilemparkan oleh pihak NGO kepada industri sawit.

Topik yang dimulakan tentang kekuatan tanaman kelapa sawit yang sememangnya satu tanaman yang sentiasa mampan. (sustainable) yang dapat membekalkan 1/3 lelemak dan minyak sayuran dunia walhal kawasan yang bertanam hanyalah meliputi 14.7 juta hektar atau hanya 5.7% daripada jumlah tanah yang bagi tanaman untuk tujuan minyak dan lemak sayuran.  Bukan itu sahaja, biomas kelapa sawit juga boleh menghasilkan tenaga hijau yang mesra alam.   Beliau menyatakan bahawa kelapa sawit adalah tanaman yang memenuhi dan memastikan ciri-ciri ‘Food Security’ dan ‘Food safety’ berdasarkan tafsiran FAO dan FDA, dan disebabkan itu, permintaan minyak kelapa sawit semakin berkembang dan bertambah.

Industri kelapa sawit bukan pemusnah hutan, malah industri ini juga menyumbangkan kewangan bagi pemiliharan hidupan liar.  Tambahnya lagi, sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan Malaysia masih lagi hutan dan Malaysia tidak akan menambah keluasannya walaupun permintaan minyak sayuran dunia semakin mendesak.

Beliau akui bahawa kempen anti-kelapa sawit tidak akan berhenti dan akan sentiasa menjadi cabaran kepada industri kelapa sawit.   Adalah menjadi tanggungjawab MPOC untuk terus mempertahankannya dan akan sentiasa membekalkan maklumat-maklumat benar  industri kelapa sawit.

Adalah penting bagi orang awam mengetahui bahawa minyak kelapa sawit adalah sumber utama minyak dan lelemak dunia.

Komen dan pendapat – Setuju dengan topik yang dipresentasikan oleh Tan Sri Yusof Basiron namun masih banyak lagi cabaran yang perlu industri kelapa sawit hadapi terutamanya dari segi kawasan boleh tanam yang sangat terhad.  Peningkatan hasil hanyalah bergantung kepada kajian biak-baka yang berterusan dan produktiviti disamping faktor cuaca.

Dakyah-dakyah buruk NGO terhadap industri kelapa sawit adalah satu cabaran yang tidak ada noktanya.  Terimaksih kepada MPOC yang sentiasa berterusan menangkis dakyah NGO dan sentiasa membekalkan maklumat-maklumat yang berlandaskan fakta-fakta yang sukar disangkal.

Dikesempatan ini izinkan saya untuk menyeru seluruh masyarakat terutamanya yang terlibat dengan industri sawit untuk bersama-sama MPOC untuk berterusan mempertahankan dan menangkis segala tomahan yang dilemparkan oleh pihak NGO ini.

Antara cara paling mudah ialah mendaftarkan sebagai pengguna di ‘youtube’ dan beri komen positif pada setiap video yang berkaitan kelapa sawit terutamanya yang diterbitkan oleh NGO.  Klik ‘dislike’ bagi setiap pendapat negative dan video negatif dan klik ‘like’ bagi pendapat dan video positif.  Tunjukkan kepada mereka yang jumlah ‘like’ untuk positif dan ‘dislike’ untuk negatif adalah yang terbanyak.   Bayangkanlah kalau terdapat 1 juta orang yang klik ‘dislike’ pada video mereka yang menghina kelapa sawit, saya rasa mungkin satu hari nanti mereka akan mengalah jua.

Semoga kita bersatu hati… Perkara yang saya rasa sukar untuk dilaksanakan, walaupun ianya mudah.
READ MORE » MPOC Seminar - Ulasan Topik 2