Baja Kimia

Salam,

Secara amnya baja kimia terbahagi kepada dua sumber utama.  Baja yang diperolehi daripada sumber semulajadi iaitu melalui perlombongan dan juga baja sintetik iaitu baja buatan di kilang. Baja-baja ini kemudiannya dibahagikan kepada  3 jenis utama iaitu:-


Baja lurus .

Baja yang mengandungi satu atau dua zat makanan perlu sahaja.  Baja ini adalah tidak lengkap kerana tidak terdapat zat-zat makanan perlu yang lain contohnya baja lurus jenis Muriate Of Potash (MOP), baja ini  hanya mengandungi zat makanan 60%K2O atau Kalium sahaja, manakala  Rock Phosphate pula mengandungi 29% P2O5 atau Phosphate dan Kalsium sahaja.  Kebiasaannya 4-5 jenis baja lurus diperlukan bagi melengkapkan keperluan pemakanan kelapa sawit.

Kelebihan baja lurus ialah kandungan zat makanan yang tinggi dan harga yang lebih rendah.  Contohnya, AN mengandungi 34% N, 29% P2O5 dalam RP,  60%K2O dalam MOP dan 27% MgO dalam Kieserite berbanding hanya  12%N, 6%P2O5, 22% K2O dan 3% MgO dalam baja sebatian (12:6:22:3).
Kelemahannya pula ialah keperluan bagi kekerapan aplikasi baja yang tinggi dan potensi segregasi dan antagonistik yang boleh berlaku apabila selang hari aplikasi untuk  baja MOP dan Kieserite terlalu singkat atau kurang daripada 2 minggu.  Hal ini akan meningkatkan risiko kehilangan baja kerana akar  hanya akan mengambil satu zat makanan sahaja, kebiasaanya hanya zat makanan Kalium dan meninggalkan zat makanan Magnesium  yang kemudiannya akan hilang melalui larut resap.  Segregasi pula boleh berlaku apabila baja berasid seperti Ammonium Nitrate diaplikasikan bersama baja beralkali seperti Rock Phosphate.

Baja jenis ini tidak popular dikalangan pekebun kecil kerana aplikasinya agak cerewet dan memerlukan pengetahuan agronomi untuk memprogramkan kadar rekomendasi yang sesuai dan seimbang dengan keperluan pokok kelapa sawit.

Lain pula dengan syarikat perladangan besar, baja lurus adalah biasa digunakan diladang-ladang mereka.  Ini adalah kerana harganya yang lebih murah dan kandungan zat makanan yang tinggi.   Tambahan pula syarikat perladangan besar kebiasaanya mempunyai jabatan atau unit agronominya sendiri yang boleh membuat rekomendasi baja yang lebih tepat dan seimbang.

Baja campuran.

Baja campuran adalah baja yang dicampur diantara 2 atau lebih baja lurus.  Proses percampuran baja adalah hanya melibatkan percampuran secara terus atau secara fizikal tanpa melibatkan proses pemanasan dan kimia.  Proses campuran adalah berdasarkan nisbah-nisbah tertentu dan boleh dilakukan secara skala kecil dengan menggunakan cangkul atau mesin campur simen atau juga secara berskala besar di kilang-kilang baja.  Walaubagaimanapun  tidak semua jenis baja lurus boleh dicampurkan diantara satu sama lain kerana tidak sesuai disebabkan ciri-ciri antoginistik dan segregasi sebagaimana yang telah diterangkan diatas.

Kelebihan baja ini adalah menjimatkan masa aplikasi kerana 2 atau lebih jenis baja lurus dapat diaplikasikan serentak.  Baja ini juga adalah lebih murah berbanding baja sebatian akan tetapi lebih mahal berbanding baja lurus.

Kelemahannya ialah tidak semua baja boleh dicampur dan zat makanan dalam baja campuran terdedah kepada risiko ketidakseragaman dan luar daripada spesifikasi peratusan zat makanan.  Contohnya, dalam satu beg baja campuran dengan spesifikasi nisbah 30%MOP dan 17%AN mempunyai potensi yang tinggi untuk mempunyai kadar nisbah yang berlainan seperti 25%MOP dan 20%AN.  Implikasi luar spesifikasi akan mempengaruhi ketepatan kadar baja yang telah direkomendasikan yang berdasarkan kepada spesifikasi yang diberikan oleh pihak pengilang.

Baja sebatian.

Baja sebatian adalah sejenis baja campuran yang melalui proses campuran fizikal, kimia, pemanasan, penyejukan dan pengranularan.

Kelebihan baja sebatian ialah mudah digunakan.  Baja jenis ini dapat membekalkan zat-zat makanan yang hampir lengkap kepada pokok kelapa sawit.  Baja sebatian yang popular adalah dari jenis sebatian 44.  Kadungan zat makanan adalah hampir lengkap iaitu (12%N):(6%P2O5):(22%K2O)(3%MgO)
Kelemahannya pula ialah harganya lebih mahal berbanding baja lurus dan campuran.  Zat makanan nitrogen pula terdedah kepada risiko pemeluapan (kehilangan N ke udara) lebih-lebih lagi bila baja ditabur pada musim panas.  Ini adalah keranan kebanyakkan baja sebatian menggunakan Urea sebagai sumber zat makanan nitrogen didalam baja sebatian mereka.

Ada sesetangah baja sebatian yang tidak berkualiti.  Harga baja sebatian yang tidak berkualiti agak murah sedikit, namun risiko kehilangan zat makanan adalah tinggi dengan menggunakan baja-baja yang murah.  Risiko yang pertama ialah peratusan zat unsur makanan kurang daripada apa yang dinyatakan atau tidak memenuhi speksifikasi.

Keduanya, menggunakan granular yang tidak berkualiti.  Kebiasaannya, granular yang tidak berkualiti akan lambat larut selepas ditabur.  Kadangkala, granular tersebut masih kelihatan diatas tanah walaupun setelah 3 bulan ditabur.  Keadaan ini boleh meningkatkan kehilangan zat makanan melalui air larian apabila hujan lebat.
Sememangnya diakui sebahagian zat makanan telah dilepaskan daripada granularnya.  Namun persoalan yang timbul ialah berapa peratus yang telah dilepaskan dan berapa lama masa yang perlu diambil untuk 100% zat makanan dilepaskan? Sekiranya, ia mengambil masa sehingga 2-3 bulan, maka risiko untuk hujan lebat dalam jangkamasa ini adalah tinggi yang juga akan membasuh kesemua granular-granular bersama dengan zat makanan yang masih berbaki.

Pada pandangan saya adalah lebih baik kita mencuba beberapa jenis baja dahulu dengan kadar yang sedikit dan lihat keberkesanannya.  Ekperimen mudah ialah dengan menabur baja-baja sebatian didalm polibeg nurseri dan disiram setiap hari.    Bagi menjimatkan masa, beli beberapa jenis baja sebatian dalam bungkusan kecil dan jalankan ekperimen anda secara serentak.

Bagi mendapatkan keputusan yang agak tepat, anda boleh menyediakan replikasi iaitu satu jenis baja sebatian ditaburkan kepada sekurang-kurangnya 5 polibeg.  Sekiranya anda ingin menguji 3 jenis baja sebatian, maka anda perlukan 15 polibeg yang mana setiap satu jenis baja akan ditaburkan kepada 5 polibeg.

Lihat berapa lama masa yang diperlukan untuk granular larut.  Bandingkan ketiga-tiga jenis baja sebatian yang telah diuji.  Pilih baja yang menunjukkan kadar perlarutan yang paling cepat.  Mungkin aka nada polibeg yang lambat larut untuk satu-satu jenis baja sebatian.  Untuk ini, anda perlu ambil purata bagi setiap polibeg yang menunjukkan kadar larutan yang cepat.  Bandingkan purata bagi setiap jenis baja sebatian tersebut dan pilih purata yang terbanyak.

Walaubagaimanapun, jalan yang terbaik ialah pilih baja sebatian yang berjenama sperti CCM, YaraMilla, FPM, MPOB F1 dan Benh Mayer.  Walaupun harganya agak mahal sedikit namun kualitinya agak terjamin.
READ MORE » Baja Kimia

Baja Organik

Salam,

Pembajaan atau pemakanan atau nutrisi pokok kelapa sawit adalah antara faktor utama yang mempengaruhi hasil sesebuah ladang kelapa sawit selain daripada faktor-faktor seperti jenis tanah, cuaca, bentuk rupa bumi dan sebagainya.  Pokok kelapa sawit adalah antara kelompok tumbuhan yang mempunyai permintaan dan respon yang tinggi terhadap baja yang diberikan.  Dari itu aplikasi pembajaan kepada pokok kelapa sawit  adalah tidak boleh dikompromi walaupun terpaksa berbelanja lebih.

Harga baja yang kian meningkat selari dengan harga minyak mentah dunia sedikit sebanyak memberikan kesan terutamanya kepada  pekebun kecil.  Dianggarkan kos pembajaan kelapa sawit boleh mencapai sehingga 30% daripada kos pengeluaran BTS atau 50-60% daripada kos penyelengaraan.   Namun, pengusaha-pengusaha tanaman kelapa sawit masih lagi boleh menarik nafas panjang kerana paras harga minyak sawit mentah  yang agak tinggi pada kebelakangan ini.   Harga ini juga dijangka akan bertahan dalam tempoh sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun 2011.

Jenis-jenis baja
Baja boleh dibahagikan kepada 2 jenis utama iaitu baja kimia dan baja organik.

Baja Organik.

Baja organik ialah baja yang berasal daripada tumbuhan, hidupan atau bahan buangan daripada kedua-duanya yang telah lengkap mereput.  Proses pereputan samada secara semulajadi dan memakan masa yang agak lama atau melalui teknik pengkomposan dimana proses pereputan sempurna dapat dipercepatkan dengan menggunakan mikrob tertentu.   Proses pengkomposan juga boleh menyah bau terutamanya apabila menkomposkan tahi ayam.

Pereputan yang belum sempurna seperti, jerami padi dan sebagainya adalah tidak digalakkan untuk digunakan untuk tujuan pembajaan.  Proses pereputan memerlukan unsur nitrogen dan juga perlepasan ammonia ke udara.  Ini akan mengakibatkan persaingan untuk mendapatkan nitrogen diantara tanaman dan mikrob yang bekerja dalam proses pereputan disamping ketidakbolehkawalan perlepasan gas ammonia yang berbahaya kepada alam sekitar.

Baja organik mengandungi unsur karbon yang tinggi dan hanya sedikit zat-zat makanan yang lain.  Kelebihan baja organik ialah dapat memperbaiki dan memperelokkan struktur tanah.  Aplikasi baja organik dikawasan tanah berpasir akan dapat meningkatkan keupayaan menyimpan air dan zat-zat makanan.   Manakala dikawasan tanah liat pula, baja organik dapat mengemburkan tanah liat yang pada asalnya mempunyai stukrur padat.  ‘Fixation’ zat makanan fosfat atau unsur P oleh tanah adalah tinggi di kawasan tanah yang mengadungi kadungan Ferum yang tinggi.  Kehadiran bahan organik daripada aplikasi baja organik dapat mengurangkan ‘fixation’ ini dan seterusnya menjadikan unsur P dalam keadaan yang tersedia untuk diambil oleh akar.
Baja organik tidak mempunyai risiko keracunan kepada pokok kelapa sawit apabila kadar aplikasinya melebihi daripada keperluan pokok kelapa sawit tersebut.  Baja organik juga boleh bertindak sebagai sumber makanan dan persekitaran yang sesuai mikrob baik seperti ‘Michoriza’, ‘Trichoderma’, ‘Bacillus’, Yis dan sebagainya untuk bercambah dan berkembang.

Kelemahan baja organik ialah kadar aplikasi yang tinggi diperlukan bagi memenuhi keperluan zat makanan kelapa sawit disebabkan peratusan zat makanan yang sedikit.  Contohnya ialah EFB-kompos, bagi memenuhi keperluan zat makanan kelapa sawit, kadar yang mencukupi ialah antara 50-100kg/pokok/tahun berbeza dengan zat makanan bukan organik yang hanya perlu 7-11kg/pokok/tahun sahaja.  Kadar yang tinggi ini sudah tentu membebankan, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang kekurangan tenaga pekerja.  Jika dibandingkan harganya berdasarkan zat makanan seperti N,P,K, harga baja organik akan lebih tinggi berbanding dengan baja inorganik kerana peratusan N,P,K dalam baja organik kebiasaannya adalah lebih rendah berbanding baja inorganik.

Aplikasi yang terbaik ialah secara aplikasi kombinasi diantara baja organik dan baja inorganik.  Aplikasi sebegini dapat memenuhi keperluan zat makanan kelapa sawit.  Sebarang kekurangan zat makanan yang terdapat dalam baja organik boleh ditampung oleh baja inorganik.  Persoalan yang ditimbulkan dalam kombinasi aplikasi ini ialah berkenaan kebolehan hidup mikrob baik.  Dikhuatiri, mikrob akan musnah akibat baja inorganik yang berasid.

Namun pada saya, kombinasi aplikasi diantara organik dan inorganik adalah yang terbaik dalam memenuhi keperluan zat makanan kelapa sawit.  Baja organik berfaedah kepada tanah manakala baja inorganik pula boleh memenuhi keperluan zat makanan pokok kelapa sawit.  Zat makanan yang diberi pula mudah diambil oleh akar dengan kehadiran baja atau unsur organik yang boleh diumpamakan sebagi pelincir kepada akar.

Sekian.
READ MORE » Baja Organik

Pekerja ladang harus nikmati hasil kenaikan harga sawit : Muhyiddin

PUSA (SARAWAK) 18 Feb 2011  :- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kadar gaji pekerja ladang di negara ini masih lagi terlalu rendah sedangkan harga minyak sawit telah meningkat. Memandangkan rakyat tempatan kurang berminat untuk bekerja di sektor perladangan kerana gajinya yang rendah, kerajaan pusat menubuhkan satu majlis perundingan di Kementerian Sumber Manusia untuk membuat kajian semula kadar gaji pekerja ladang supaya setimpal dengan perkembangan industri perladangan.

"Pendapatan kerja di sektor perladangan tidak setimpal, sedangkan apa yang kita tahu seperti harga minyak sawit ketika ini merupakan antara yang terbaik, dan justeru itu pekerja yang bekerja di ladang sawit sepatutnya mendapat imbuhan gaji yang jauh lebih tinggi," katanya ketika berucap pada majlis tinjauan mesra di sini, hari ini.- BERNAMA

Komen Penulis

Saya tidak berapa bersetuju untuk menaikkan gaji pekerja ladang dengan alasan semata-mata harga minyak kelapa sawit yang tinggi.  Ini kerana harga minyak sawit adalah tidak tetapdan sentiasa terdedah kepada perubahan yang sukar dijangkakan.    Persoalannya, adakah kenaikkan gaji perlu diturunkan pula apabila harga minyak menurun?

Pada pandangan saya, mekanisma yang terbaik yang boleh menjamin situasi untung-untung diantara pekerja dan majikan ialah pemberian imbuhan tambahan yang mungkin berbentuk bonus atau insentif-insentif  lain asalkan pemberian tersebut adalah dalam bentuk wang ringgit.  Mekanisma pengiraan upah berdasarkan purata harga minyak sawit sebagaimana yang dipraktikkan dalam pengiraan upah penuai buah juga boleh diadaptasikan kepada pengiraan upah untuk kerja-kerja penyelengaraan lain seperti meracun, membaja dan sebagainya.  Mungkin sedikit modifikasi kaedah pengiraan perlu dilakukan agar bersesuaian dengan kerja yang dilakukan.

Kenaikkan gaji biarlah berdasarkan produktiviti seseorang pekerja tersebut.  Impak negatif  boleh berlaku apabila kenaikan gaji diberikan secara pukul rata tanpa mengira kebolehan seseorang.  Tindakan ini juga boleh mendatangkan ketidakpuashatian diantara pekerja.  Bayangkanlah apa perasaan pekerja A yang rajin dan sentiasa menyiapkan kerja tanpa curi tulang yang akan menerima kenaikkan yang sama dengan pekerja B yang sentiasa curi tulang. 

Saya juga kurang bersetuju kenyataan yang rakyat tempatan kurang berminat bekerja diladang kerana gaji yang ditawarkan adalah rendah.  Saya tidak fikir rakyat tempatan akan berebut-rebut bekerja diladang sekiranya gaji dinaikkan.  Pengalaman saya, pernah satu ketika, pekerja tempatan yang ditawarkan bekerja diladang sebagai penyelia dan beliau bersetuju dengan gaji ditawarkan, namun apabila tiba hari mendaftarkan diri, beliau tidak berbuat demikian walaupun telah tiba diluar pejabat ladang.  Beliau terus balik, mungkin melihat kedudukan ladang yang terletak jauh daripada pusat bandar, ditambah pula dengan jalan yang tidak berturap.  Ada juga yang hanya satu hari sahaja tahan bekerja diladang.  

Saya juga pernah bertanya kepada anak buah, sanggup atau tidak untuk bekerja diladang sekiranya ditawarkan dengan gaji yang sama dengan bekerja diindustri kilang elektronik dibandar, malah saya sebutkan juga tentang faedah lain seperti bonus tahunan yang besar, rumah tidak perlu disewa, subsidi air dan elektrik dan juga subsidi petrol, yang sebenarnya 2-3 kali lebih baik berbanding bekerja di kilang elektronik yang sering membuang pekerjanya.  Namun, respon yang saya dapat adalah mengecewakan.  Mereka langsung tidak berminat terutamanya apabila disebut lokasi ladang yang jauh dipendalaman.  Untuk ke temuduga sebagai penyelia ladang pun mereka tidak sanggup apatah lagi untuk memegang jawatan penyelia ladang yang akan menetap di ladang pada jangka masa yang lama. 

Apa yang boleh saya katakan bahawa wang bukanlah segalanya bagi rakyat tempatan,.  Mereka sudah mempunyai pilihan. Kalau 40-50 tahun dahulu, kemudahan dikampung adalah amat daif dengan jalan yang kecil dan tidak berturap berbanding dengan kemudahan diladang yang lengkap dengan air dan elektrik.  Pada masa tersebut, tidak hairanlah ramai rakyat tempatan  dengan rela hati meninggalkan kampung masing-masing untuk bekerja di ladang.

Sekarang zaman sudah berubah.  Hasil kemakmuran Malaysia, kemudahan di kampung hampir setaraf dibandar. Kebanyakkan jalan-jalan ke kampung juga telah diturap kecuali dibeberapa kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak. Pilihan pekerjaan juga adalah luas.  Kilang-kilang masih memerlukan pekerja.  Jika tidak manakan rakyat asing memenuhi kilang-kilang elektronik kita, sehingga kadang kala rakyat tempatan pula ditindas. 

Masalah mendapatkan pekerja akan tetap menghantui syarikat-syarikat perladangan walaupun gaji dinaikkan. Kebergantungan pihak ladang terhadap pekerja asing adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Pengurusan ladang kelapa sawit memerlukan nafas baru.  Kajian kejuruteraan ‘mechatronic’ bagi mencapai sistem mekanisasi maju perlu mendapat suntikan yang intensif supaya indutri sawit akan terus menerajui bekalan lelemak dunia yang ekonomik dan berkualiti tanpa memerlukan jumlah pekerja yang ramai. 

Sepatutnya, sebahagian kecil lebihan untung yang diperolehi oleh syarikat-syarikat perladangan yang besar disalurkan sebagai tambahan bajet R&D bagi tujuan membuat kajian ‘Mechatronic’ yang berfokuskan industri sawit. 

READ MORE » Pekerja ladang harus nikmati hasil kenaikan harga sawit : Muhyiddin

MPOC Seminar - Ulasan Topik 2

Salam,
Dalam entri lepas saya telah membincangkan secara ringkas 2 topik yang dibentangkan pada sessi pagi di seminar MPOC yang berlangsung pada 26 Januari 2011.  Pada sessi petang pula, 4 topik lagi dipresentasikan termasuk topik daripada Tan Sri Yusof Basiron, CEO, MPOC.  Pada penghujung sessi petang pula, peserta seminar diberi peluang untuk berdialog dengan  Menteri Industri perladangan dan Komoditi iaitu YB Tan Sri Bernard Dompok.

Datuk Dr Choo Yuen May, Director General, MPOB memulakan presentasi untuk sessi petang.  Topik yang dipresentasikan adalah bertajuk “The Untapped Potential of Palm Biomass & Its Potential Applications”.   Dalam presentasinya, beliau menyentuh tentang potensi biomass kelapa sawit yang masih belum lagi dikomersialkan secara signifikan.  Anggaran biomas kelapa sawit yang terhasil dalam tahun 2009 sahaja berjumlah kira-kira 158 juta tan.

Pecahan biomas kelapa sawit mengikut komponen adalah seperti berikut.
Pelepah Kelapa sawit yang dipangkas 42.21 Juta tan
Pelepah Kelapa sawit daripada penebangan 3.28 Juta tan
Batang kelapa sawit daripada penebangan 17.5 Juta tan
Tandan Kosong (EFB) kelapa sawit 20.99 Juta tan
Fiber Mesokap kelapa sawit 7.73 Juta tan
Isirung biji kelapa sawit 4.46 Juta tan
POME daripada kilang kelapa sawit 62 Juta tan
JUMLAH 158.17 Juta tan

Pada masa kini, majoriti penggunaan biomas kelapa sawit adalah tertumpu kepada aplikasi yang bertujuan mengembalikan semula nutrisi kepada pokok kelapa sawit.   Aplikasi yang biasa dilakukan adalah bentuk tandan kosong (EFB), POME, timbunan pelepah yang dipangkas semasa menuai dan batang  pokok kelapa sawit yang dicincang semasa tanaman semula.  Selain daripada itu, kitar semula nutrisi juga diaplikasikan melalui kompos yang dihasilkan daripada campuran EFB dan POME.

Manakala pihak kilang pula menggunakan biomas daripada ‘shell’ dan ‘mesocarp fiber ‘ kelapa sawit sebagai bahan bakar untuk menjana stim dan tenaga elektrik.  Terdapat juga sedikit penggunaan dalam bentuk biogas yang diperolehi melalui pemerangkapan di kolam POME.

Selain daripada aplikasi biasa, masih terdapat banyak lagi potensi biomas kelapa sawit.  Diantara potensi biomas kelapa sawit yang diketengahkan oleh Dr Choo adalah :-

  • Membekalkan tenaga elektrik secara sistem grid melalui biogas dan ‘Solid Fuel’.
  • Menghasilkan  ‘Solid Fuel’ dalam bentuk  fiber EFB, briket dan pellet melalui proses tekanan mekanikal.
  • Menghasilkan Bio-minyak, Biogas(syngas) dan Biocar melalui pemanasa pirolisis.
  • Menghasilkan Bioethanol melalui proses penapaian.
  • Menghasilkan minyak hidrokarbon.
  • Menghasilkan Biokomposit seperti particle board’, ‘Eco-pallet’, ‘oil palm plywood’, ‘pulp and paper product’.
  • Menghasilkan produk ‘phytochemicals’ seperti ‘Phenolics’ yang mempunyai nilai yang tinggi  untuk tujuan perubatan seperti substrat untuk mensintesis ‘tamiflu’ .  Phenolic yang terhasil daripada biomas kelapa sawit mempunyai potensi terbesar sebagai sumber asid ‘shikimic’ dunia.

Namun katanya dalam merealisasikan potensi biomas, terdapat beberapa isu dan cabaran.  Antaranya ialah penggunaan biomas yang kompetetif, lokasi ‘power plant’ bagi tujuan grid kuasa, ketidakpastian bekalan biomas, keperluan sokongan kewangan, kurangnya insentif dan kualiti minyak biomas yang tidak konsisten.

Ulasan dan pendapat –  Semangnya banyak biomas kelapa sawit dan potensinya memang tidak diragui lagi.  Saya rasa penggunaan yang berkesan dan ekonomik ialah kitar semula menjadi baja samada aplikasi secara terus atau proses sebagai kompos.  Kedua terbaik ialah menjana kuasa elektrik yang kini digunakan oleh pihak kilang.  Memerangkap biogas di kolam POME di akui berpotensi, Cuma was-was dengan harga yang boleh dijual kepada TNB.  Kalau kerajaan bersetuju guna kuasa nuclear, saya rasa teknologi biogas ni akan jadi gajah putih kecuali pihak kilang dapat insentif kerana memerangkap gas methane daripada terlepas ke udara.

Lain-lain teknologi seperti biokomposit tu, saya lihat ianya sukar untuk diperluaskan secara komersial.  Ianya tidak mustahil untuk dikomersialkan secara signifikan asalkan pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap teknologi hijau dan sanggup berbelanja lebih bagi membeli barangan berasaskan teknologi hijau.  Namun, apa yang dapat diperhatikan ialah kesedaran pengguna masih lagi rendah.  Sebagai contoh, masih ada yang sanggup membayar 20 sen untuk beg plastik pada hari bebas plastik.  Kedai-kedai kecil pula masih lagi membekalkan beg plastik pada hari sabtu.  Pengguna juga masih memilih polisterin pinggan pakai-buang daripada memilih pinggan-pakai buang yang berasaskan biomas kelapa sawit.  Alasannya, ia lebih murah dan mudah didapati.   Pada mereka, kalau guna produk pakai-buang mestilah cari yang murah.  Yelah, sekali pakai je, lepas tu kena buang.

Topik kedua untuk sessi petang adalah bertajuk “Methane capture and biomass utilization for power generation”.  Topik ini dibentangkan oleh Puan Sri Datin Dr. Liana Low, CEO, Bell Eco Power Sdn. Bhd.  Syarikat Bell adalah juga pelopor kepada teknologi hijau yang menggunakan biomas dan biogas kelapa sawit untuk menjana elektrik.

Secara ringkasnya tenaga elektrik yang dihasilkan bermula daripada Tangki POME kedap dimana POME akan mengalami proses ‘Anaerobic Digestion’ yang akan melepaskan gas methane.  Gas methane ini kemudiannya dialirkan dan ditulenkan sebelum ke sistem enjin biogas dimana kuasa elektrik akan dijanakan disini.  Kuasa elektrik yang terhasil kemudiannya dibekalkan kepada sub-station TNB untuk pengagihan kepada pengguna.  Untuk 2010, anggaran potensi tenaga elektrik yang boleh dijanakan daripada POME adalah 3,825 Gw setahun.

Ulasan dan Pendapat :- Nampaknya, topik ini lebih kepada promosi untuk BELL je.  Maklumlah, pelopor kepada teknologi pemerangkapan biogas dan penjanaan tenaga hijau.  Apa yang dibentangkan adalah sebahagian daripada teknologinya.  Kos dan tenaga yang digunakan untuk menukarkan 1 unit biogas kepada 1 unit tenaga elektrik tidak dinyatakan.  Ini yang penting dan perlu ditekankan baru tahu teknologi ini ekonomik ataupun tidak.  Kalau 2 joule diperlukan untuk hasilkan 1 joule, nak buat apa, mengabihkan beras je…. Seumpama masak 2 cupak beras tapi yang dapat hanya 1 cupak nasi je.

Topik ketiga yang bertajuk ‘The Global Climate Change Debate and Taxpayer Funded’ telah dibentangkan oleh Mr Roger Helmer, Member of the European Paliament, UK.  Beliau mengetengahkan isu perubahan cuaca yang sering menjadi topik hangat dalam kempen-kempen NGO.   Katanya, NGO nama sahaja organisasi bukan kerajaan yang kononnya bergerak secara sendiri, sebaliknya organisasi ini mendapat peruntukan besar bagi menaja aktiviti kempen yang dijalankan.  Masalah besar ialah mereka selalu melancarkan kempen yang beremosi tanpa berlandaskan fakta-fakta saintifik.  Industri sawit menjadi sasaran kempen yang dijalankan oleh NGO yang tidak berlandaskan fakta sebenar.  Namun Eropah masih lagi meneruskan polisi iklim yang pada beliau tidak ada keperluannya, tidak memberikan kesan dan sudah tentu menelan belanja yang besar.

Ulasan dan Pendapat :- Setuju dengan topik.   Diorang yang jalankan kempen ni semuanya mengarut je, ada yang lebih daripada apa yang berlaku.  Kempen NGO ini pulak selalunya berdasarkan emosi, bukannya fakta.   Kalau nak cakap pasal kenaikkan aras air laut akibat kecairan ais disebabkan penipisan ozon, saya setuju dengan Mr Roger ni, kejadian seperti ini memang dah berlaku beribu-ribu tahun dulu, kalau tidak percaya, boleh baca hipotesis dan bukti yang diberikan oleh pengkaji bumi (geologist), dulu Selat Melaka takde, kita boleh berbasikal untuk ke Sumatera.  Jadi apa kecohnya tentang kenaikkan aras laut.  Perulangan peristiwa ini akan berlaku juga walaupun tanpa penipisan ozon.   Okeylah bro Roger, keep it up dengan usaha murni.

Topik keempat yang bertajuk  ‘Preparing the industry for the opportunities and challenges of tomorrow’ adalah topik yang terakhir yang dibentangkan oleh CEO MPOC sendiri iaitu Tan Sri Yusof Basiron.  Topik yang berkisar tentang keunikan tanaman sawit, permintaan yang sentiasa meningkat sehinggalah berbicara tentang cabaran yang dihadapai oleh industri kelapa sawit yang juga termasuk kempen anti-kelapa sawit dan apa yang telah pihak MPOC lakukan untuk menangkis segala tomahan dan dakyah buruk yang dilemparkan oleh pihak NGO kepada industri sawit.

Topik yang dimulakan tentang kekuatan tanaman kelapa sawit yang sememangnya satu tanaman yang sentiasa mampan. (sustainable) yang dapat membekalkan 1/3 lelemak dan minyak sayuran dunia walhal kawasan yang bertanam hanyalah meliputi 14.7 juta hektar atau hanya 5.7% daripada jumlah tanah yang bagi tanaman untuk tujuan minyak dan lemak sayuran.  Bukan itu sahaja, biomas kelapa sawit juga boleh menghasilkan tenaga hijau yang mesra alam.   Beliau menyatakan bahawa kelapa sawit adalah tanaman yang memenuhi dan memastikan ciri-ciri ‘Food Security’ dan ‘Food safety’ berdasarkan tafsiran FAO dan FDA, dan disebabkan itu, permintaan minyak kelapa sawit semakin berkembang dan bertambah.

Industri kelapa sawit bukan pemusnah hutan, malah industri ini juga menyumbangkan kewangan bagi pemiliharan hidupan liar.  Tambahnya lagi, sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan Malaysia masih lagi hutan dan Malaysia tidak akan menambah keluasannya walaupun permintaan minyak sayuran dunia semakin mendesak.

Beliau akui bahawa kempen anti-kelapa sawit tidak akan berhenti dan akan sentiasa menjadi cabaran kepada industri kelapa sawit.   Adalah menjadi tanggungjawab MPOC untuk terus mempertahankannya dan akan sentiasa membekalkan maklumat-maklumat benar  industri kelapa sawit.

Adalah penting bagi orang awam mengetahui bahawa minyak kelapa sawit adalah sumber utama minyak dan lelemak dunia.

Komen dan pendapat – Setuju dengan topik yang dipresentasikan oleh Tan Sri Yusof Basiron namun masih banyak lagi cabaran yang perlu industri kelapa sawit hadapi terutamanya dari segi kawasan boleh tanam yang sangat terhad.  Peningkatan hasil hanyalah bergantung kepada kajian biak-baka yang berterusan dan produktiviti disamping faktor cuaca.

Dakyah-dakyah buruk NGO terhadap industri kelapa sawit adalah satu cabaran yang tidak ada noktanya.  Terimaksih kepada MPOC yang sentiasa berterusan menangkis dakyah NGO dan sentiasa membekalkan maklumat-maklumat yang berlandaskan fakta-fakta yang sukar disangkal.

Dikesempatan ini izinkan saya untuk menyeru seluruh masyarakat terutamanya yang terlibat dengan industri sawit untuk bersama-sama MPOC untuk berterusan mempertahankan dan menangkis segala tomahan yang dilemparkan oleh pihak NGO ini.

Antara cara paling mudah ialah mendaftarkan sebagai pengguna di ‘youtube’ dan beri komen positif pada setiap video yang berkaitan kelapa sawit terutamanya yang diterbitkan oleh NGO.  Klik ‘dislike’ bagi setiap pendapat negative dan video negatif dan klik ‘like’ bagi pendapat dan video positif.  Tunjukkan kepada mereka yang jumlah ‘like’ untuk positif dan ‘dislike’ untuk negatif adalah yang terbanyak.   Bayangkanlah kalau terdapat 1 juta orang yang klik ‘dislike’ pada video mereka yang menghina kelapa sawit, saya rasa mungkin satu hari nanti mereka akan mengalah jua.

Semoga kita bersatu hati… Perkara yang saya rasa sukar untuk dilaksanakan, walaupun ianya mudah.
READ MORE » MPOC Seminar - Ulasan Topik 2

MPOC seminar - Ulasan Topik 1

Salam,

Sebagaimana yang telah saya janjikan dalam entri yang lepas untuk membincangkan topik-topik yang dibentangkan dalam seminar Reach and Teach yang telah berlangsung pada 25 hb Januari 2011 yang lepas.   Seminar dimulakan dengan Launching of MPOC/FRIM book dan diakhiri dengan dialog bersama Menteri Industri perladangan dan Komoditi iaitu YB Tan Sri Bernard Dompok.

Terdapat 6 topik yang telah dibentangkan iaitu :-

1. Palm Market Outlook 2011' -  Mr. Benny Lee, Chief Strategies, NextView Sdn. Bhd.
2. Perspectives from PEMANDU on Palm Oil as a National Key Economic area - Mr John Low, Director NKEA, PEMANDU,Prime Minister's Department
3. The Untapped Potential of Palm Biomass & Its Potential Applications - Datuk Dr Choo Yuen May, Director General, MPOB.
4. Methane Capture & Biomass Utilization for Power Generation - Puan Sri Datin Sr. Liana Low, CEO Bell Eco Power Sdn Bhd
5. The Global Climate Change Debate and Taxpayer Funded Environment - Mr Roger Helmer, UK Conservative Brussels.
6. Current Global Anti-Palm Oil Campaign - Where & What needs to be Done from Palm Oil's Perpective - Tan Sri Datuk Dr Yusof Basiron, CEO, MPOC.
Palm Market Outlook 2011 - Topik ini membincangkan beberapa teknik analisa yang diguna pakai bagi meramalkan pergerakkan harga minyak sawit mentah (MSM/CPO).  Analisa yang dijalankan adalah analisa yang bersifat teknikal dengan unjuran-unjuran graf berdasarkan pengiraan dan corak atau tren pergerakan harga lepas. Daripada analisa Mr Benny menjangkakan bahawa harga MSM akan bergerak sekitar RM3300-RM3550 dalam jangkamasa 2-5 bulan akan datang.  Selain daripada itu beliau juga menyatakan terdapat positif korelasi diantara nilai mata wang Chinese Yuan dengan harga sawit, manakala korelasi negatif pula akan berlaku terhadap kenaikkan harga US dollar.   Pengukuhan nilai Ringgit dan Yuan terhadap US dollar adalah dijangkakan untuk jangka masa pendek yang secara positifnya akan menyokong lonjakan harga MSM.  Komen dan Ulasan penulis.  Alhamdulillah, semoga rezeki sawit ini akan berterusan.

Berdasarkan info lain, harga MSM ini juga akan bertahan dalam jangkamasa sekurang-kurangnya selepas suku pertama sehingga akhir tahun ini.  Kemantapan harga MSM juga disumbangkan oleh penjejasan pengeluaran minyak sayuran dunia seperti soya yang terjejas akibat bencana alam dan kemarau.  Peningkatan peningkatan MSM dan insentif cukai yang diperkenalkan terutamanya penghantaran ke Pakistan juga membantu.  Namun, kita tidak boleh leka, kejatuhan boleh berlaku tanpa diduga.  Ancaman kempen memburukkan kelapa sawit oleh NGO perlu diberi perhatian serius.    Selain daripada MPOC yang bertangguinjawab untuk menangkis serangan NGO, kita sebagai warga yang bergantung rezeki sawit ini juga boleh menyumbang.

Cara paling mudah ialah pergi ke you tube kemudian taip 'Oil Palm' atau 'Palm Oil' dalam kekotak carian atau serach dan apabila keluar video anti kelapa sawit, maka anda perlu beri komen yang bertentangan dengan keburukkan kelapa sawit atau yang paling ringan sekali ialah klik Dislike pada video dan juga komen negatif.  Kita tunjukkan kepada mereka yang kita bersatu dalam menangkis dakyah buruk mereka. Bayangkanlah, kalau semua yang terlibat dengan industri sawit termasuk anak dan isteri/suami masing-masing mengklik Dislike pada video dan komen negatif, saya rasa diorang tak sanggup nak buat video bodoh tu lagi.  Sebabnya, video diorang akan sentiasa diband oleh pihak youtube.

Palm Oil as a National Key Economic Area - Topik kedua yang menyentuh program ETP yang berkaitan dengan indutri komoditi sawit.  Untuk tujuan tersebut, kerajaan telah memprogramkan 8 'Entry Points Project' khas untuk industri sawit.

Yang pertamanya ialah mempercepatkan proses tanaman semula bagi pokok yang berusia 25 tahun dan keatas.   Kini masih terdapat 365414ha kawasan yang masih mempunyai pokok sawit berusia lebih daripada 25 tahun.  Ia diwajibkan kepada pekebun kecil.   YB Tan Sri Bernard Dompok telah  melancarkan program tanam semula pada 31 Januari di Sabah.  Sejumlah RM267 juta diperuntukkan untuk program tanam semula terutamanya kepada pekebun kecil.

Keduanya ialah meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS/FFB) dari purata hasil semasa iaitu 21 mt/ha kepada 26.2mt/ha.    Jumlah keluasan tanaman pekebun-pekebun kecil iaitu 600,000ha adalah dikenalpasti sebagai punca kepada purata hasil BTS nasional yang rendah. Antara rekomendasinya ialah menguatkuasakan perlaksanaan amalan ladang baik keatas pekebun-pekebun kecil.  Audit ladang dijalankan oleh MPOB/SIRIM.   Perlantikan pegawai TUNAS bagi membantu dari segi teknikal.   Pengumpulan pekebun kecil kedalam koperasi. Ranking hasil BTS untuk pekebun kecil oleh MPOB.
Ketiganya ialah meningkatkan produktiviti pekerja - dapat mengurangkan pekerja dan menambahkan pendapatan mereka.  Rekomendasinya adalah dengan Penggunaan cantas dan diamond sharpening tool.

Keempatnya ialah meningkatkan kadar perahan minyak(OER).   Objektifnya ialah meningkatkan purata OER semasa iaitu 20.49% kepada 23%. Rekomendasinya ialah - Meningkatkan kualiti BTS. Menguatkuasakan pengredan buah yang adil.  Bayaran BTS berdasarkan kualitinya.   Stim dan suhu yang stabil semasa penstrilan. Pemasangan 'screw press' untuk memerah baki minyak daripada tandan kosong.  Kelimanya ialah pembinaan fasiliti pemerangkapan Biogas terutama di kolam-kolam POME.  Keenam hingga ke lapan adalah berfokus kepada industri hiliran seperti oleokimia,  biofuel generasi kedua dan mempercepatkan pertumbuhan segmen makanan dan kesihatan.

Komen dan Ulasan Penulis

Untuk bahagian pekebun kecil itu, saya rasa sukar sikit untuk dikawal dan dipantau. Namun sekiranya ada subsidi untuk menanam semula atau ada syarat tambahan yang hanya membolehkan pekebun kecil menjual BTS yang dituai daripada pokok berusia 25 tahun dan kebawah sahaja, atau potongan OER kepada pekebun kecil yang menghantar BTS daripada pokok berusia 25 tahun keatas,  maka penguatkuasaan dan pemantauan untuk program tanaman semula, amalan ladang baik dan juga kualiti BTS berkemungkinan adalah lebih mudah.

Nasihat teknikal - emmm, sememangnya wakil pekebun kecil ada menyatakan bahawa mereka tidak dapat nasihat teknikal yang praktikal daripada pakar seperti MPOB, namun pada pandangan saya, bukannya mereka ini tidak tahu teknikal sawit malah ada yang lebih bijak lagi, namun disebabkan keengganan berbelanja lebih dan kekurangan tenaga pekerja, maka segala nasihat teknikal mungkin tidak berguna termasuklah nasihat untuk menggunakan baja yang berkualiti dengan kadar yang betul - sebabnya baja yang direkomendasikan adalah mahal (bukan semuanya ye - ada juga yang betul-betul tak tahu).  Namun usaha MPOB mewujudkan program TUNAS bagi mendekati pekebun-pekebun kecil adalah wajar dan bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan purata hasil nasional.
Peningkatan produktiviti - penggunaan cantas sememangnya terbukti boleh meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan pekerja selaras dengan ETP.  Namun penggunaan cantas hanyalah praktikal pada pokok sawit yang berumur 15 tahun kebawah atau ketinggian yang tidak melebihi.... kaki.  Dalam penggunaan cantas, nisbah penuai dan pemungut tandan dan biji adalah penting supaya buah dan biji yang dituai tidak ditinggalkan didalam kebun.  Nisbah 1 pemotong kepada 2 pengangkat adalah memadai untuk kawasan seluas 4-5 hektar pada musim puncak dan 5-6 hektar pada musim melawas, bergantung juga kepada keadaan muka bumi.

Pada saya, kerja menyusun daun, mengutip biji dan mengangkat buah adalah yang paling sukar dan ia menjadi penyumbang kepada penurunan produktiviti.  Sememangnya diakui sehingga kini terdapat banyak inovasi bagi membantu meningkatkan produktiviti pengangkat buah contohnya seperti penggunaan 'mechanical buffalo', Kubota dan 'grabber', live buffalo dan cart, motorsikal dengan 'cart', 'motorized wheel barrow', 'vakum' untuk kutip biji dan sebagainya.  Namun apa yang saya dapat perhatikan, ia masih belum memberi signifikan impak yang seterusnya dapat mengurangkan keperluan pekerja asing mungkin hanya perlu 1 pengangkat untuk 2 hingga 3 orang penuai dan boleh meliputi seluas 10 hektar sehari atau secara puratanya dengan nisbah 1orang:3.3 ha per hari atau dengan nisbah 1:40 ha untuk pusingan 12 hari.

Kajian terperinci dan menyeluruh potensi teknologi tinggi seperti penggunaan 'autopilot robotik' atau 'mechatronic' dengan kawalan berpusat sepatutnya diberikan penekanan dalam EPP. Peruntukan dan pakar yang sesuai perlu di sediakan.  Hal ini telah saya bincangkan dalam entri 'advance mechanical' yang lepas.

Peningkatan BTS dan OER - Rekomendasinya yang dicadangkan kebanyakkannya adalah rekomendasi yang biasa seperti menghantar BTS berkualiti, penstabilan stim dan suhu, pengredan, bayaran BTS berdasarkan gred.  Bagi meningkatkan BTS pula, rekomendasinya lebih berfokus kepada pekebun kecil.  Tiada idea baru yang mempunyai impak yang besar.  Kekurangan pekerja juga adalah menjadi penyumbang kepada penurunan BTS.   Penanaman klon sawit dan konvensional DxP  yang berprestasi tinggi juga boleh meningkatkan BTS.

InsyAllah, saya akan bincangkan topik yang lain pada entri yang akan datang.
READ MORE » MPOC seminar - Ulasan Topik 1