Dalam entri lepas saya telah membincangkan secara ringkas 2 topik yang dibentangkan pada sessi pagi di seminar MPOC yang berlangsung pada 26 Januari 2011. Pada sessi petang pula, 4 topik lagi dipresentasikan termasuk topik daripada Tan Sri Yusof Basiron, CEO, MPOC. Pada penghujung sessi petang pula, peserta seminar diberi peluang untuk berdialog dengan Menteri Industri perladangan dan Komoditi iaitu YB Tan Sri Bernard Dompok.
Datuk Dr Choo Yuen May, Director General, MPOB memulakan presentasi untuk sessi petang. Topik yang dipresentasikan adalah bertajuk “The Untapped Potential of Palm Biomass & Its Potential Applications”. Dalam presentasinya, beliau menyentuh tentang potensi biomass kelapa sawit yang masih belum lagi dikomersialkan secara signifikan. Anggaran biomas kelapa sawit yang terhasil dalam tahun 2009 sahaja berjumlah kira-kira 158 juta tan.
Pecahan biomas kelapa sawit mengikut komponen adalah seperti berikut.
Pelepah Kelapa sawit yang dipangkas 42.21 Juta tan
Pelepah Kelapa sawit daripada penebangan 3.28 Juta tan
Batang kelapa sawit daripada penebangan 17.5 Juta tan
Tandan Kosong (EFB) kelapa sawit 20.99 Juta tan
Fiber Mesokap kelapa sawit 7.73 Juta tan
Isirung biji kelapa sawit 4.46 Juta tan
POME daripada kilang kelapa sawit 62 Juta tan
JUMLAH 158.17 Juta tan
Pada masa kini, majoriti penggunaan biomas kelapa sawit adalah tertumpu kepada aplikasi yang bertujuan mengembalikan semula nutrisi kepada pokok kelapa sawit. Aplikasi yang biasa dilakukan adalah bentuk tandan kosong (EFB), POME, timbunan pelepah yang dipangkas semasa menuai dan batang pokok kelapa sawit yang dicincang semasa tanaman semula. Selain daripada itu, kitar semula nutrisi juga diaplikasikan melalui kompos yang dihasilkan daripada campuran EFB dan POME.
Manakala pihak kilang pula menggunakan biomas daripada ‘shell’ dan ‘mesocarp fiber ‘ kelapa sawit sebagai bahan bakar untuk menjana stim dan tenaga elektrik. Terdapat juga sedikit penggunaan dalam bentuk biogas yang diperolehi melalui pemerangkapan di kolam POME.
Selain daripada aplikasi biasa, masih terdapat banyak lagi potensi biomas kelapa sawit. Diantara potensi biomas kelapa sawit yang diketengahkan oleh Dr Choo adalah :-
- Membekalkan tenaga elektrik secara sistem grid melalui biogas dan ‘Solid Fuel’.
- Menghasilkan ‘Solid Fuel’ dalam bentuk fiber EFB, briket dan pellet melalui proses tekanan mekanikal.
- Menghasilkan Bio-minyak, Biogas(syngas) dan Biocar melalui pemanasa pirolisis.
- Menghasilkan Bioethanol melalui proses penapaian.
- Menghasilkan minyak hidrokarbon.
- Menghasilkan Biokomposit seperti particle board’, ‘Eco-pallet’, ‘oil palm plywood’, ‘pulp and paper product’.
- Menghasilkan produk ‘phytochemicals’ seperti ‘Phenolics’ yang mempunyai nilai yang tinggi untuk tujuan perubatan seperti substrat untuk mensintesis ‘tamiflu’ . Phenolic yang terhasil daripada biomas kelapa sawit mempunyai potensi terbesar sebagai sumber asid ‘shikimic’ dunia.
Namun katanya dalam merealisasikan potensi biomas, terdapat beberapa isu dan cabaran. Antaranya ialah penggunaan biomas yang kompetetif, lokasi ‘power plant’ bagi tujuan grid kuasa, ketidakpastian bekalan biomas, keperluan sokongan kewangan, kurangnya insentif dan kualiti minyak biomas yang tidak konsisten.
Ulasan dan pendapat – Semangnya banyak biomas kelapa sawit dan potensinya memang tidak diragui lagi. Saya rasa penggunaan yang berkesan dan ekonomik ialah kitar semula menjadi baja samada aplikasi secara terus atau proses sebagai kompos. Kedua terbaik ialah menjana kuasa elektrik yang kini digunakan oleh pihak kilang. Memerangkap biogas di kolam POME di akui berpotensi, Cuma was-was dengan harga yang boleh dijual kepada TNB. Kalau kerajaan bersetuju guna kuasa nuclear, saya rasa teknologi biogas ni akan jadi gajah putih kecuali pihak kilang dapat insentif kerana memerangkap gas methane daripada terlepas ke udara.
Lain-lain teknologi seperti biokomposit tu, saya lihat ianya sukar untuk diperluaskan secara komersial. Ianya tidak mustahil untuk dikomersialkan secara signifikan asalkan pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap teknologi hijau dan sanggup berbelanja lebih bagi membeli barangan berasaskan teknologi hijau. Namun, apa yang dapat diperhatikan ialah kesedaran pengguna masih lagi rendah. Sebagai contoh, masih ada yang sanggup membayar 20 sen untuk beg plastik pada hari bebas plastik. Kedai-kedai kecil pula masih lagi membekalkan beg plastik pada hari sabtu. Pengguna juga masih memilih polisterin pinggan pakai-buang daripada memilih pinggan-pakai buang yang berasaskan biomas kelapa sawit. Alasannya, ia lebih murah dan mudah didapati. Pada mereka, kalau guna produk pakai-buang mestilah cari yang murah. Yelah, sekali pakai je, lepas tu kena buang.
Topik kedua untuk sessi petang adalah bertajuk “Methane capture and biomass utilization for power generation”. Topik ini dibentangkan oleh Puan Sri Datin Dr. Liana Low, CEO, Bell Eco Power Sdn. Bhd. Syarikat Bell adalah juga pelopor kepada teknologi hijau yang menggunakan biomas dan biogas kelapa sawit untuk menjana elektrik.
Secara ringkasnya tenaga elektrik yang dihasilkan bermula daripada Tangki POME kedap dimana POME akan mengalami proses ‘Anaerobic Digestion’ yang akan melepaskan gas methane. Gas methane ini kemudiannya dialirkan dan ditulenkan sebelum ke sistem enjin biogas dimana kuasa elektrik akan dijanakan disini. Kuasa elektrik yang terhasil kemudiannya dibekalkan kepada sub-station TNB untuk pengagihan kepada pengguna. Untuk 2010, anggaran potensi tenaga elektrik yang boleh dijanakan daripada POME adalah 3,825 Gw setahun.
Ulasan dan Pendapat :- Nampaknya, topik ini lebih kepada promosi untuk BELL je. Maklumlah, pelopor kepada teknologi pemerangkapan biogas dan penjanaan tenaga hijau. Apa yang dibentangkan adalah sebahagian daripada teknologinya. Kos dan tenaga yang digunakan untuk menukarkan 1 unit biogas kepada 1 unit tenaga elektrik tidak dinyatakan. Ini yang penting dan perlu ditekankan baru tahu teknologi ini ekonomik ataupun tidak. Kalau 2 joule diperlukan untuk hasilkan 1 joule, nak buat apa, mengabihkan beras je…. Seumpama masak 2 cupak beras tapi yang dapat hanya 1 cupak nasi je.
Topik ketiga yang bertajuk ‘The Global Climate Change Debate and Taxpayer Funded’ telah dibentangkan oleh Mr Roger Helmer, Member of the European Paliament, UK. Beliau mengetengahkan isu perubahan cuaca yang sering menjadi topik hangat dalam kempen-kempen NGO. Katanya, NGO nama sahaja organisasi bukan kerajaan yang kononnya bergerak secara sendiri, sebaliknya organisasi ini mendapat peruntukan besar bagi menaja aktiviti kempen yang dijalankan. Masalah besar ialah mereka selalu melancarkan kempen yang beremosi tanpa berlandaskan fakta-fakta saintifik. Industri sawit menjadi sasaran kempen yang dijalankan oleh NGO yang tidak berlandaskan fakta sebenar. Namun Eropah masih lagi meneruskan polisi iklim yang pada beliau tidak ada keperluannya, tidak memberikan kesan dan sudah tentu menelan belanja yang besar.
Ulasan dan Pendapat :- Setuju dengan topik. Diorang yang jalankan kempen ni semuanya mengarut je, ada yang lebih daripada apa yang berlaku. Kempen NGO ini pulak selalunya berdasarkan emosi, bukannya fakta. Kalau nak cakap pasal kenaikkan aras air laut akibat kecairan ais disebabkan penipisan ozon, saya setuju dengan Mr Roger ni, kejadian seperti ini memang dah berlaku beribu-ribu tahun dulu, kalau tidak percaya, boleh baca hipotesis dan bukti yang diberikan oleh pengkaji bumi (geologist), dulu Selat Melaka takde, kita boleh berbasikal untuk ke Sumatera. Jadi apa kecohnya tentang kenaikkan aras laut. Perulangan peristiwa ini akan berlaku juga walaupun tanpa penipisan ozon. Okeylah bro Roger, keep it up dengan usaha murni.
Topik keempat yang bertajuk ‘Preparing the industry for the opportunities and challenges of tomorrow’ adalah topik yang terakhir yang dibentangkan oleh CEO MPOC sendiri iaitu Tan Sri Yusof Basiron. Topik yang berkisar tentang keunikan tanaman sawit, permintaan yang sentiasa meningkat sehinggalah berbicara tentang cabaran yang dihadapai oleh industri kelapa sawit yang juga termasuk kempen anti-kelapa sawit dan apa yang telah pihak MPOC lakukan untuk menangkis segala tomahan dan dakyah buruk yang dilemparkan oleh pihak NGO kepada industri sawit.
Topik yang dimulakan tentang kekuatan tanaman kelapa sawit yang sememangnya satu tanaman yang sentiasa mampan. (sustainable) yang dapat membekalkan 1/3 lelemak dan minyak sayuran dunia walhal kawasan yang bertanam hanyalah meliputi 14.7 juta hektar atau hanya 5.7% daripada jumlah tanah yang bagi tanaman untuk tujuan minyak dan lemak sayuran. Bukan itu sahaja, biomas kelapa sawit juga boleh menghasilkan tenaga hijau yang mesra alam. Beliau menyatakan bahawa kelapa sawit adalah tanaman yang memenuhi dan memastikan ciri-ciri ‘Food Security’ dan ‘Food safety’ berdasarkan tafsiran FAO dan FDA, dan disebabkan itu, permintaan minyak kelapa sawit semakin berkembang dan bertambah.
Industri kelapa sawit bukan pemusnah hutan, malah industri ini juga menyumbangkan kewangan bagi pemiliharan hidupan liar. Tambahnya lagi, sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan Malaysia masih lagi hutan dan Malaysia tidak akan menambah keluasannya walaupun permintaan minyak sayuran dunia semakin mendesak.
Beliau akui bahawa kempen anti-kelapa sawit tidak akan berhenti dan akan sentiasa menjadi cabaran kepada industri kelapa sawit. Adalah menjadi tanggungjawab MPOC untuk terus mempertahankannya dan akan sentiasa membekalkan maklumat-maklumat benar industri kelapa sawit.
Adalah penting bagi orang awam mengetahui bahawa minyak kelapa sawit adalah sumber utama minyak dan lelemak dunia.
Komen dan pendapat – Setuju dengan topik yang dipresentasikan oleh Tan Sri Yusof Basiron namun masih banyak lagi cabaran yang perlu industri kelapa sawit hadapi terutamanya dari segi kawasan boleh tanam yang sangat terhad. Peningkatan hasil hanyalah bergantung kepada kajian biak-baka yang berterusan dan produktiviti disamping faktor cuaca.
Dakyah-dakyah buruk NGO terhadap industri kelapa sawit adalah satu cabaran yang tidak ada noktanya. Terimaksih kepada MPOC yang sentiasa berterusan menangkis dakyah NGO dan sentiasa membekalkan maklumat-maklumat yang berlandaskan fakta-fakta yang sukar disangkal.
Dikesempatan ini izinkan saya untuk menyeru seluruh masyarakat terutamanya yang terlibat dengan industri sawit untuk bersama-sama MPOC untuk berterusan mempertahankan dan menangkis segala tomahan yang dilemparkan oleh pihak NGO ini.
Antara cara paling mudah ialah mendaftarkan sebagai pengguna di ‘youtube’ dan beri komen positif pada setiap video yang berkaitan kelapa sawit terutamanya yang diterbitkan oleh NGO. Klik ‘dislike’ bagi setiap pendapat negative dan video negatif dan klik ‘like’ bagi pendapat dan video positif. Tunjukkan kepada mereka yang jumlah ‘like’ untuk positif dan ‘dislike’ untuk negatif adalah yang terbanyak. Bayangkanlah kalau terdapat 1 juta orang yang klik ‘dislike’ pada video mereka yang menghina kelapa sawit, saya rasa mungkin satu hari nanti mereka akan mengalah jua.
Semoga kita bersatu hati… Perkara yang saya rasa sukar untuk dilaksanakan, walaupun ianya mudah.
0 comments:
Post a Comment