Tikus Yang Kecundang

Salam,

Pada entri kali ini saya akan menyentuh pula berkenaan tikus yang kecundang.  Apa yang saya maksudkan tikus yang kecundang adalah tikus yang boleh dikawal dengan umpan yang diberi.  Saya akan menekankan kaedah atau teknik mengumpan dan juga beberapa jenis umpan yang ada dipasaran.
Terdapat 2 kaedah yang biasa diguna pakai sebelum kempen mengumpan tikus dijalankan disesebuah ladang. Kaedah-kaedah tersebut adalah sebagimana berikut:-
  1. Kaedah mengumpan berdasarkan ‘fresh rat damage’ iaitu peratusan kerosakkan segar pada biji sawit akibat serangan tikus.  Pengiraan adalah berdasarkan jumlah pokok kelapa sawit yang menunjukkan kerosakkan segar pada biji sawit dibahagikan kepada jumlah pokok kelapa sawit yang di kira termasuk pokok kelapa sawit yang tidak mengalami kerosakkan tikus. Kemudian dikalikan dengan 100 untuk mendapatkan peratusannya.
    • Ada pendapat yang mengatakan bahawa kerosakkan segar pada biji kelapa sawit hanya dikira sebagai satu kerosakkan apabila terdapat lebih daripada 5 biji kerosakkan.
    • Ada juga yang menggunakan kaedah yang lebih ketat iaitu hanya 1 biji sawit yang rosak sudah memadai untuk dikira sebagai satu kerosakkan.
    • Mengumpan hanya dijalankan apabila ‘fresh damage’ melebihi 5%.  Kadar dibawah 5% menunjukkan populasi tikus yang rendah dan boleh dikawal oleh pemangsa semulajadi.
  2. Kaedah mengumpan berdasarkan kalendar iaitu mengumpan tikus pada setiap 6 bulan tanpa menjalankan ‘census’.  Kaedah ini hanya sesuai dijalankan dikawasan yang mempunyai populasi tikus yang tinggi yang biasanya ditunjukkan oleh kerosakkan buah sawit yang tinggi dan kelihatan kelibat tikus berlari-lari diladang pada siang hari.
UMPAN.
Secara amnya terdapat 2 jenis umpan iaitu jenis ‘Acute poison’ (zinc phosphide) dan ‘chronic poison’.  Umpan yang menggunakan ‘chronic poison’ adalah yang biasa digunakan diladang.  Umpan jenis ini pula terbahagi kepada 2 generasi.
Umpan generasi pertama.
Umpan dari generai pertama kebiasaannya menggunakan Warfarin 0.05% sebagai ‘active ingredient’ (a.i).  Contoh umpan generasi pertama yang terdapat dipasaran adalah Ebor keluaran Sime Darby dan KG22 keluaran Guthrie (sekarang Sime Darby).
Kelebihan umpan generasi pertama adalah lebih murah iaitu sekitar 3 sen per umpan. Umpan ini juga tidak memberi kesan ‘sekunder’ kepada burung hantu iaitu burung hantu tidak akan mati apabila makan tikus yang telah mengambil umpan beracun.
Kelemahan umpan generasi pertama berbanding generasi kedua pula ialah sela masa pusingan mengumpan lebih pendek iaitu 3-4 hari, memerlukan tenaga buruh yang lebih ramai. Jangkamasa tikus mati selepas makan umpan beracun adalah lebih lama.  Adakalanya sehingga 15 hari.  Terdapat juga laporan yang menunjukkan tikus imun terhadap umpan generasi pertama.  Kebiasaannya umpan generasi pertama memerlukan 6-9 pusingan dan kadangkala sehingga 15 pusingan mengumpan sebelum peratusan ‘acceptance’ (pengambilan umpan) jatuh ke paras 30%.
Umpan generasi kedua.
Umpan generasi kedua adalah lebih popular dan sering digunakan oleh pengusaha ladang kelapa sawit.  Ini adalah kerana selang masa pusingan mengumpan yang lebih panjang iaitu 7-8 hari.  Kadar keberkesanan membunuh juga adalah lebih tinggi berbanding yang pertama.  Jumlah pusingan yang biasa ialah sekitar 4-5 pusingan.
Namun umpan generasi kedua boleh memberi kesan ‘sekunder’.  Burung hantu yang makan tikus yang telah diracun boleh menerima padah yang sama.  Kadangkala bangkai burung hantu boleh dijumpai diladang selepas beberapa pusingan mengumpan.  Umpan generasi kedua juga adalah lebih mahal iaitu sekitar 5-7 sen per umpan.
Jenis umpan generasi kedua yang biasa terdapat dipasaran ialah:-
  1. Storm – (a.i – Flocoumafen …. 0.05%), diedarkan oleh Benh Mayer.
  2. Ebor 2030 – (a.i. – Brodifacoum…0.003%), diedarkan oleh Sime Darby.
  3. Ebor 401 – ( a.i – Bromadiolone…0.005%), diedarkan oleh Sime Darby
  4. Butik G2-  (a.i. -  Bromadiolone …0.005%), diedarkan oleh FELDA.
  5. Matikus – (a.i. – Brodifacoum…0.003% ), diedarkan oleh Syngenta.
Kesemua umpan yang diatas memberikan kesan yang sama terhadap tikus.  Kadar kematian 100% terhadap tikus yang diberi makan dengan umpan diatas.  Masalah yang timbul hanyalah dari segi daya tarikan umpan terhadap tikus.  Umpan yang kurang daya tarikan adalah tidak efektif.  Setakat yang diuji, umpan nombor 1 dan 2 adalah yang terbaik dari segi tarikan terhadap tikus.  Namun ada juga kes terpencil yang menunjukkan umpan nombor 1 tidak berupaya menarik tikus untuk mengambilnya.
Kempen mengumpan tikus hanya boleh berjaya sekiranya umpan yang diberikan sampai kepada sasaran.  Untuk itu pemantauan yang berterusan semasa kerja-kerja mengumpan adalah penting.  Saya akan bincangkan teknik dan tip mengumpan dalam entri yang akan datang.
Sekian terima kasih.

0 comments:

Post a Comment