Acid Sulphate Soils

Salam,

Dalam artikel yang lepas (boleh klik disini untuk artikel sebelum ini) saya ada kongsikan sedikit teknik dalam menguruskan tanah berpasir.  Hari ini saya akan sentuh sedikit berkenaan tanah berasid atau tanah masam.

Sebagaimana kebiasaannya bagi memulakan tanaman kelapa sawit, baka tanaman adalah yang terpenting.  Untuk tanah berasid, saya galakkan supaya membeli anak benih daripada United Plantation (UP) kerana mereka mempunyai pengalaman luas dalam penanaman kelapa sawit di kawasan tanah berasid dan tanah gambut.

Bagaimana anda boleh menentukan sesuatu tanah tersebut adalah berasid atau bukan.  Untuk mudah dan tepat sudah tentulah menggunakan pH meter.  Namun anda tidak perlu bimbang, anda boleh menentukannya secara pemerhatian tanpa penggunaan pH meter.

Anda boleh rasa air yang bertakung di tanah tersebut.  Kebiasaanya ia akan rasa masam.  Anda juga boleh perhatikan warna pada dinding longkang dikawasan tanah tersebut.  Sekiranya terdapat warna coklat karat, maka ia adalah salah satu simptom yang menunjukkan bahawa tanah tersebut adalah berasid.  Warna coklat karat terhasil daripada proses oksidasi diantara lapisan ‘Jarosite’ yang terdedah kepada udara.  Selain daripada itu, mineral yang dikenali sebagai ‘fool gold’ atau Pyrite boleh juga teroksida dan menghasilkan sabatian berasid.  Warna jarosite adalah kehijauan manakala pyrite berwarna keemasan.
Faktor penting dalam menguruskan tanah jenis berasid ialah kawalan air.  Aras air dalam longkang yang dibina mestilah sentiasa berada diatas aras lapisan Jarosite atau lapisan yang mengandungi mineral Pyrite.  Ini bertujuan untuk melambatkan proses oksida.  Lapisan-lapisan ini sekiranya terdedah kepada udara, ia akan mengalami proses oksida dengan lebih cepat.

Bagi mengawal air, empangan kecil yang menggunakan beg-beg baja yang diisi dengan pasir perlu ditempatkan di dalam parit (collection drain).  Empangan yang agak besar perlu diletakkan dalam parit utama (main drain).  Empangan hendaklah dibuka pada ketika musim hujan untuk melepaskan air yang berasid dan menerima air yang baru.

Berapa aras air yang sesuai? Aras air yang sesuai sebenarnya bergantung kepada aras lapisan-lapisan jarosit dan pyrite.  Bagi memudahkan, saya rasa cukuplah sekadar 50-75cm dari aras tebing.
Sistem perparitan yang biasa dipraktikan adalah lebih kurang sama dengan dikawasan gambut.  Yang berbeza Cuma dari segi kepadatan parit ladang.  Secara dasarnya sistem perparitan adalah terdiri daripada :-
  1. Parit ladang (field drain) – kedalaman 1.5 kaki.
  2. Parit kumpul (collection drain) – kedalaman 3 kaki.
  3. Pari utama (main drain) – kedalaman 6 kaki.
Bagi mengawal aras air, anda boleh letakkan penanda aras dalam parit utama.Selain daripada pengawalan air.  Pengapuran menggunakan K-lime atau dolomite atau GML adalah perlu dengan kadar 2kg/pokok/tahun.  Lakukannya setiap tahun.  Rock phosphate juga perlu ditabur setiap tahun kerana perkembangan akar yang perlahan di tanah berasid.  Elakkan daripada menggunakan baja yang berasid tinggi seperti Urea.  Gantikan sumber nitrogen dengan baja Ammonium Nitrate atau Ammonium Sulphate.

Aplikasi ‘Bunch Ash’ dalam kadar 6kg/pokok adalah sangat berkesan dalam menaikkan sedikit pH dan pada yang sama sebagai sumber nutrein Kalium.  Jangan lupa juga untuk taburkan baja borate dengan kadar 100gm/pokok.  Abaikan boron sekiranya anda menggunakan baja sebatian yang telah terkandung borate didalamnya.

Saya rasa cukup setakat ini dahulu.  

Sekian

0 comments:

Post a Comment