Ladang digital

Salam,

Apa yang dimaksudkan dengan ladang kelapa sawit digital?  Tentu anda terbayangkan penggunaan sistem perkomputeran yang canggih yang saling berhubung diantara satu sama lain dalam pengurusan ladang.   Mungkin ada juga yang berimaginasi seperti apa yang berlaku dalam cerita 'TRON' atau mungkin juga ada yang mengambarkan sebuah ladang yang diuruskan oleh sistem robot bersepadu termasuk kerja-kerja penyelengaraan ladang.  Terbayang juga betapa selesanya pengurus
ladang yang memantau kerja-kerja operasi harian ladang melalui monitor besar didalam pusat kawalan bersepadu yang berhawa dingin.

Apa yang dimaginasikan adalah tidak mustahil untuk direalisasikan satu ketika nanti asalkan ada penyelidikan berterusan yang berfokuskan kepada potensi penggunaan teknologi Mechatronic dalam operasi harian di ladang kepala sawit.  Kecewa juga apabila diperhatikan bahawa kajian penggunaan teknologi  Mechatronic masih lagi ditahap yang masih tidak memuaskan.  Sepanjang lebih 10 tahun saya berkecimpung dalam industri sawit ini, masih belum ada hasil kajian yang dibentangkan walaupun pada peringkat perintis.  Apa yang sering diuar-uarkan dan kebanyakkan topik yang dipresentasikan dalam mana-mana seminar adalah bersandarkan kepada kajian dalam bidang bioteknologi.

Saya akui kajian biotek mempunyai impak yang besar kepada industri kelapa sawit, namun, kempen atau promosi kerajaan juga mestilah seimbang dengan penggunaan teknologi Mechatronic, lebih-lebih lagi dengan kekurangan tenaga pekerja untuk operasi harian ladang kelapa sawit.  Kajian terhadap penjenteraan (mechanization) ladang adalah masih lagi tidak mencukupi.  Suntikan intergrasi kejuruteraan mekanikal, elektronik dan perkomputeran adalah yang terbaik untuk dijadikan ramuan asas dalam bidang penyelidikan kejuruteraan ladang kelapa sawit.  Diharap satu hari nanti dengan hasil penemuan kajian Mechatronic,  industri sawit akan terus berkembang ke satu peringkat yang lebih maju dan tidak gentar dengan tuntutan buruh yang tinggi dan sentiasa tidak mencukupi.

Okeylah, saya tidak bercadang untuk mengupas hal Mechatronic ini dengan lebih panjang lebar.  Ia juga telah dibincangkan dalam entri yang lepas.  Pembaca boleh merujuk kepada entri 'Advance Mechanization' untuk mengetahui apa yang saya maksudkan dengan teknologi Mechatronic.  Apa yang saya maksudkan dengan Ladang Kelapa Sawit Digital ini adalah lebih berfokuskan kepada teknologi maklumat yang kini sedang dipraktikkan oleh syarikat  perladangan besar di ladang-kadang kelapa sawit milik mereka.  Saya berpendapat bahawa teknologi maklumat bersepadu di ladang kelapa sawit adalah teknologi dasar atau tapak bagi menyediakan atau mendedahkan ladang kelapa sawit kepada teknologi yang lebih maju iaitu teknologi yang berteraskan kejuruteraan  Mechatronic dan perkomputeran.
 
Teknologi maklumat bersepadu di ladang kelapa sawit adalah teknologi intergrasi diantara pemetaan GPS, sistem informasi geografi (GIS) dan sistem pengkalan data (DBMS).  Tidak ketinggalan juga penggunaan imej satelit dan foto udara. Potensi penggunaan 'Wave length' kanopi pokok kelapa sawit bagi menganalisa status nutrisi pokok kelapa sawit dan juga tahap kesihatannya adalah masih ditahap kajian.

Proses pendigitalan ladang kelapa sawit boleh dilakukan dengan melantik juruukur GPS.  Kadar pemetaan GPS ialah diantara RM8.00 hingga RM15.00 untuk sehektar bergantung kepada tujuan pemetaan tersebut.  Sekiranya anda perlukan sebuah peta digital yang lengkap dan terperinci yang termasuk pemetaan kawasan teres, sistem pengairan, jalan, kawasan rata dan tinggi dan juga pengesahan secara tindihan dengan pelan akui, maka sudah tentu harganya adalah lebih tinggi berbanding pemetaan asas sahaja.

Sebenarnya, pemetaan GPS boleh dilakukan sendiri asalkan kawasan tanaman sawit melebihi 500 ha.  Adalah tidak berbaloi bagi pekebun kecil yang mempunyai  keluasan kurang daripada 500ha untuk memiliki peralatan sendiri kerana bukan sahaja ianya agak mahal malah ia memerlukan pelukis peta digital yang mahir dengan perisian GIS.

Peralatan yang diperlukan adalah seperti berikut:-

1. Alat penerima GPS.
Ia digunakan untuk pengambilan geo-koordinat dilapangan atau secara mudahnya, ia digunakan untuk pemetaan diladang kelapa sawit.  Koordinat jalan, sungai, sempadan, bangunan dan sebagainya diambil menggunakan alat penerima GPS ini.

Terdapat 2 jenama yang biasa digunakan oleh pihak perladangan kelapa sawit.

    •  Jenama Trimble - Model GeoXM berharga RM12000, ketepatan submeter  - Model GeoXT berharga RM35000, ketepatan 2-3m.
    • Jenama Garmin - Model 76cx berharga RM1600, ketepatan <10m, perlu modifikasi data sebelum dapat dibaca oleh Mapinfo.


2. Perisian GIS -
Perisian GIS ini adalah penting bagi menghasilkan sebuah map digital.  Pengukuran keluasan blok dan jalan dapat dilakukan dengan mudah dan tepat melalui perisian GIS ini. Malah sistem maklumat bersepadu tanaman kelapa sawit atau pendigitalan ladang kelapa sawit adalah sukar dilaksanakan tanpa perisian GIS.
Terdapat banyak perisian GIS namun yang paling popular dalam perladangan kelapa sawit adalah perisian   Mapinfo.  Harga Mapinfo ver 10.5 adalah sekitar RM8000  Selain daripada itu ialah perisian ARCview. Harganya mahal sedikit berbanding dengan Mapinfo.

3. Sistem Pengurusan Data (DBMS).
Sistem DBMS ini digunakan sebagai platform pengumpulan data-data ladang kelapa sawit seperti data hasil buah tanda segar (BTS/FFB), data keluasan ladang, data hujan, data pembajaan, data penyakit, data tanah data status nutrisi pokok kelapa sawit dan sebagainya.  Perisian yang biasa digunakan ialah Access, SQL dan sebagainya.  Ada juga perisian yang telah tersedia dengan template dan analisa yang perlu seperti program OMP yang berteraskan Access, program Plantware dan sebagainya.  Program-program ini kemudiannya di intergrasikan dengan perisian GIS bagi menghasilkan pemetaan digital yang bersepadu seperti pemetaan hasil, pemetaan tanah  dan sebagainya.

Selain daripada pemetaan GPS, imej satelit dan photo udara juga digunakan bagi melengkapkan sistem teknologi digital bergrafik.  Imej-imej digital samada daripada satelit atau foto udara boleh digunakan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan.  Keadaan sesebuah ladang dapat dikenalpasti melalui imej-imej digital ini.  Pada masa kini imej digital ini digunakan untuk inventori pokok kelapa sawit, pengimejan 3D model bagi menghasilan model bentuk muka bumi ladang dan juga 'planting design system' termasuk mereka bentuk teres dan jumlah teres yang optimum untuk sesebuah cerun atau tanah tinggi atau kawasan bukit-bukau. Ia juga termasuk merekabentuk sistem jalan dan 'drainage' yang ekonomik bersesuaian dengan keadaan muka bumi sebelum proses penanam kelapa sawit dijalankan.

Teknologi satelit  bersepadu ini juga digunakan bagi menganggarkan bajet tanaman kelapa sawit dengan kadar ketepatan yang tinggi.  Kontraktor yang terlibat dalam operasi penanaman kelapa sawit boleh dipantau dengan mudah.  Sebarang ketidakpuashatian antara pihak pengurusan ladang dan kontraktor penanaman kelapa sawit boleh diselesaikan dengan mudah dan berhemah.

Saya berhenti disini dulu ya.  Teknik pengambilan data dan pemetaan yang efektif menggunakan GPS akan saya bincangkan pada entri yang akan datang.  Saya akan bincangkan juga bagaimana anda boleh menggunakan imej satelit yang percuma daripada ‘google earth’ untuk tujuan pengurusan ladang.

Sekian.

2 comments:

Unknown said...

Pokok kelapa sawit kurang berbuah / tidak mengeluarkan buah?

Buah kelapa sawit terlalu kecil?

Hasil tuaian makin kurang?

Daun pokok berwarna kuning?

Pokok tidak sihat?

Jom cuba Baja Gosawit

Boleh menyelesaikan semua masalah di atas.

Boleh menambahkan hasil pengeluaran sehingga lebih 1 tan bagi setiap ekar.

Berpuluh-puluh testimoni daripada customer yang telah berjaya mendapatkan hasil dari Baja Gosawit.

Jangan tunggu lagi, jangan biarkan hasil kelapa sawit anda tidak memuaskan.

Anda mampu mengubahnya!!!

Whatsapp Lina di 019-7827697 atau klik link ini http://gosawit.wasap.my

Amirul Syazwan said...

Assalamualaikum tuan, untuk masa sekarang (2020) sejauh mana perlaksaan ladang digital dikalangan pengusaha dan pengurus ladang? Adakah penggunaan GIS dalam pengurusan ladang dapat menjimatkan kos? Sejauh mana penjimatan (sekiranya ada) berbanding dengan kaedah manual?

Post a Comment