PUSA (SARAWAK) 18 Feb 2011 :- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kadar gaji pekerja ladang di negara ini masih lagi terlalu rendah sedangkan harga minyak sawit telah meningkat. Memandangkan rakyat tempatan kurang berminat untuk bekerja di sektor perladangan kerana gajinya yang rendah, kerajaan pusat menubuhkan satu majlis perundingan di Kementerian Sumber Manusia untuk membuat kajian semula kadar gaji pekerja ladang supaya setimpal dengan perkembangan industri perladangan.
"Pendapatan kerja di sektor perladangan tidak setimpal, sedangkan apa yang kita tahu seperti harga minyak sawit ketika ini merupakan antara yang terbaik, dan justeru itu pekerja yang bekerja di ladang sawit sepatutnya mendapat imbuhan gaji yang jauh lebih tinggi," katanya ketika berucap pada majlis tinjauan mesra di sini, hari ini.- BERNAMA
Komen Penulis
Saya tidak berapa bersetuju untuk menaikkan gaji pekerja ladang dengan alasan semata-mata harga minyak kelapa sawit yang tinggi. Ini kerana harga minyak sawit adalah tidak tetapdan sentiasa terdedah kepada perubahan yang sukar dijangkakan. Persoalannya, adakah kenaikkan gaji perlu diturunkan pula apabila harga minyak menurun?
Pada pandangan saya, mekanisma yang terbaik yang boleh menjamin situasi untung-untung diantara pekerja dan majikan ialah pemberian imbuhan tambahan yang mungkin berbentuk bonus atau insentif-insentif lain asalkan pemberian tersebut adalah dalam bentuk wang ringgit. Mekanisma pengiraan upah berdasarkan purata harga minyak sawit sebagaimana yang dipraktikkan dalam pengiraan upah penuai buah juga boleh diadaptasikan kepada pengiraan upah untuk kerja-kerja penyelengaraan lain seperti meracun, membaja dan sebagainya. Mungkin sedikit modifikasi kaedah pengiraan perlu dilakukan agar bersesuaian dengan kerja yang dilakukan.
Kenaikkan gaji biarlah berdasarkan produktiviti seseorang pekerja tersebut. Impak negatif boleh berlaku apabila kenaikan gaji diberikan secara pukul rata tanpa mengira kebolehan seseorang. Tindakan ini juga boleh mendatangkan ketidakpuashatian diantara pekerja. Bayangkanlah apa perasaan pekerja A yang rajin dan sentiasa menyiapkan kerja tanpa curi tulang yang akan menerima kenaikkan yang sama dengan pekerja B yang sentiasa curi tulang.
Saya juga kurang bersetuju kenyataan yang rakyat tempatan kurang berminat bekerja diladang kerana gaji yang ditawarkan adalah rendah. Saya tidak fikir rakyat tempatan akan berebut-rebut bekerja diladang sekiranya gaji dinaikkan. Pengalaman saya, pernah satu ketika, pekerja tempatan yang ditawarkan bekerja diladang sebagai penyelia dan beliau bersetuju dengan gaji ditawarkan, namun apabila tiba hari mendaftarkan diri, beliau tidak berbuat demikian walaupun telah tiba diluar pejabat ladang. Beliau terus balik, mungkin melihat kedudukan ladang yang terletak jauh daripada pusat bandar, ditambah pula dengan jalan yang tidak berturap. Ada juga yang hanya satu hari sahaja tahan bekerja diladang.
Saya juga pernah bertanya kepada anak buah, sanggup atau tidak untuk bekerja diladang sekiranya ditawarkan dengan gaji yang sama dengan bekerja diindustri kilang elektronik dibandar, malah saya sebutkan juga tentang faedah lain seperti bonus tahunan yang besar, rumah tidak perlu disewa, subsidi air dan elektrik dan juga subsidi petrol, yang sebenarnya 2-3 kali lebih baik berbanding bekerja di kilang elektronik yang sering membuang pekerjanya. Namun, respon yang saya dapat adalah mengecewakan. Mereka langsung tidak berminat terutamanya apabila disebut lokasi ladang yang jauh dipendalaman. Untuk ke temuduga sebagai penyelia ladang pun mereka tidak sanggup apatah lagi untuk memegang jawatan penyelia ladang yang akan menetap di ladang pada jangka masa yang lama.
Apa yang boleh saya katakan bahawa wang bukanlah segalanya bagi rakyat tempatan,. Mereka sudah mempunyai pilihan. Kalau 40-50 tahun dahulu, kemudahan dikampung adalah amat daif dengan jalan yang kecil dan tidak berturap berbanding dengan kemudahan diladang yang lengkap dengan air dan elektrik. Pada masa tersebut, tidak hairanlah ramai rakyat tempatan dengan rela hati meninggalkan kampung masing-masing untuk bekerja di ladang.
Sekarang zaman sudah berubah. Hasil kemakmuran Malaysia, kemudahan di kampung hampir setaraf dibandar. Kebanyakkan jalan-jalan ke kampung juga telah diturap kecuali dibeberapa kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak. Pilihan pekerjaan juga adalah luas. Kilang-kilang masih memerlukan pekerja. Jika tidak manakan rakyat asing memenuhi kilang-kilang elektronik kita, sehingga kadang kala rakyat tempatan pula ditindas.
Masalah mendapatkan pekerja akan tetap menghantui syarikat-syarikat perladangan walaupun gaji dinaikkan. Kebergantungan pihak ladang terhadap pekerja asing adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Pengurusan ladang kelapa sawit memerlukan nafas baru. Kajian kejuruteraan ‘mechatronic’ bagi mencapai sistem mekanisasi maju perlu mendapat suntikan yang intensif supaya indutri sawit akan terus menerajui bekalan lelemak dunia yang ekonomik dan berkualiti tanpa memerlukan jumlah pekerja yang ramai.
Sepatutnya, sebahagian kecil lebihan untung yang diperolehi oleh syarikat-syarikat perladangan yang besar disalurkan sebagai tambahan bajet R&D bagi tujuan membuat kajian ‘Mechatronic’ yang berfokuskan industri sawit.
0 comments:
Post a Comment