MPOC seminar

Semalam (25 Jan 2011)saya menghadiri seminar Reach and Teach yang dianjurkan oleh MPOC di Hotel Marriot, IOI resort.  Seminar ini bertemakan “Challenges and Oppurtunities in 2011”.  Seminar yang dianjurkan oleh MPOC adalah percuma, termasuk makan, minum dan bahan seminar.  Malangnya, seminar tidak mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun penyertaan diberikan secara percuma, masih terdapat banyak lagi kerusi-kerusi kosong yang menanti untuk dipenuhi.  Lebih daripada 30% daripada penyertaan yang diperuntukkan tidak dipenuhi.  

Saya tidak tahu apa punca masaalahnya.  Mungkin promosi yang dijalankan oleh MPOC tidak mengenai sasaran atau mungkin golongan sasaran tidak berkesempatan disebabkan kekekangan masa atau mungkin juga mereka ini langsung tidak ambil peduli dengan jemputan seminar.

Peserta yang hadir kebanyakkannya adalah daripada bidang ‘marketing’,perbankan, BSKL, hartanah, wakil pekebun kecil dan sebagainya.  Sepanjang 2 kali seminar yang saya hadiri, jumlah penyertaan daripada pihak ladang dan ‘Agronomist’ adalah amat sedikit.  Mungkin juga pihak yang bertanggungjawab untuk mengaturkan penyertaan dalam syarikat mereka tidak mempedulikan jemputan dan langsung tidak menamakan penyertaan daripada ladang kerana dirasakan bahawa seminar  tidak ada kena-mengena dengan pengurusan ladang.

Perasaan kesal dan kecewa saya semakin ketara apabila difikirkan kenapa syarikat perladangan yang berhampiran atau yang berpusat di Kuala Lumpur atau ladang-ladang di sekitar Selangor atau negeri Sembilan, selatan Perak atau barat Pahang kurang atau langsung tidak menghantar wakil-wakil daripada pihak pengurusan ladang.  Mahal sangat ke harga petrol yang dibayar untuk ke seminar? Atau sibuk sangat ke?  Ataupun sememangnya tak mahu sokong MPOC ke? Atau tak suka nak berdialog dengan menteri?

Alasan ‘paper’ yang dibentangkan tidak ada kena-mengena adalah tidak boleh diterima.  Selagi kita bekerja dengan industri sawit selagi itulah kita ada kena mengena dengan sebarang ‘paper’ yang berkaitan dengan sawit tidak kiralah ia berkenaan pasaran, persekitaran, promosi, kesihatan dan sebagainya.  Sekurang-kurangnya kita tahu situasi semasa industri sawit dan kita tahu apa yang MPOC sudah lakukan untuk terus mempromosi sawit tanpa jemu dan menentang propaganda buruk yang kerap dilemparkan oleh pihak NGO luar.  Ini tidak, bukan sahaja tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan industri sawut malah hendak ‘support’ MPOC pun susah.

Oklah, terlebih komen pulak, bukannya apa, cuma nak meluahkan perasaan kecewa terhadap sikap segelintir sikap rakyat Malaysia yang kurang minat dalam mendedahkan diri terhadap ilmu yang selain daripada bidang kerjanya.
Tentu ada pembaca mengatakan saya ini orang daripada MPOC atau juga bodek MPOC.  Untuk pengetahuan pembaca, saya adalah salah seorang daripada blogger sawit bebas yang tidak mahu dikenali.

Bailah, sebelum saya berundur, InsyaAllah, dalam masa terdekat ini saya akan cuba mengupas ‘paper’ yang dipresentasikan pada seminar Reach and Teach ini.

Sekian.
READ MORE » MPOC seminar

"Adavance Milling"

Penyelidikan untuk memajukan kilang sawit banyak dijalankan oleh MPOB sendiri.  Setakat apa yang saya ketahui, kurang atau tiada satu pun syarikat perladangan besar menyediakan peruntukan khas bagi menjalankan aktiviti penyelidikan terhadap sistem kilang.  Kemungkinan kerana kajian kejuruteraan kilang ini melibatkan kewangan yang besar.
 
Namun sepanjang saya berkecimpung dalam bidang sawit ini, apa yang saya dapat perhatikan terdapat juga bebapa penemuan oleh pihak MPOB yang telah dikomersilkan.  Antaranya ialah proses pensterilan berterusan buah sawit dikilang.

Antara kebaikan proses ini :
1.    Tidak memerlukan gerabak sterilizer, trak rel, kren di atas, tippers, pengangkut pindahan dan traktor
2.    Memberi peluang untuk keseluruhan proses di kilang sawit dibuat secara berterusan, boleh diautomatikkan dan mengurangkan penggunaan buruh.
3.    Permintaan wap untuk proses pensterilan akan berada pada tahap yang tetap, mengurangkan ketidakstabilan tekanan wap, voltan dan frekuensi elektrik.
4.    Ketidakstabilan berkenaan biasanya menyebabkan masalah menjurus kepada kehilangan produk yang tinggi, kualiti produk rendah dan pengurangan keseluruhan.
5.    Mengurangkan atau menghilangkan keperluan pembakaran secara manual di boiler untuk memenuhi keperluan disebabkan ketidakstabilan tekanan wap, yang dapat meningkat kecekapan boiler, dan mengurangkan asap hitam/ tebal yang dikeluarkan boiler stack.
6.    Mengurangkan tumpahan buah sawit di kilang dan membantu ke arah persekitaran kilang sawit yang lebih bersih
7.    Membantu dalam reka bentuk dan pembinaan kilang sawit yang kecil dan mudah alih yang memerlukan pelan yang lebih ringkas berbanding kilang konventional.

MPOB melalui penyelidikan kejuruteraannya telah berjaya menambah baik sistem yang sedia ada iaitu teknologi dandang, teknologi pengasingan dan teknologi rawatan efluen yang masing-masing menyumbang kepada pengurangan terhadap pencemaran alam sekitar.  Teknologi baru yang mesra alam sekitar ini adalah relevan dengan isu semasa yang sering diperdebatkan iaitu gas rumah hijau atau Green House Gases (GHG).

Namun, secara keseluruhan prinsip atau konsep pengilangan masih lagi pada tahap yang sama dimana buah disterilkan dengan tekanan wap yang tinggi bertujuan untuk melonggarkan biji dan melembutkannya. Kemudian dimasukkan kedalam mesin pelerai atau ‘stripping drum’ untuk memisahkan biji dan tandan. Biji akan ke pemerah skru manakala tandan kosong akan dibuang.  Cecair perahan kemudiannya akan ke tangki penjernihan sebelum ke penulenan minyak dan pengeringan hampagas yang seterusnya keluar sebagai minyak sawit mentah.
 
Kehilangan minyak yang dibenarkan bagi kesuluruhan proses in adalah 1.5%.  Kemungkinan peratus kehilangan minyak melebihi daripada ini adalah tidak mustahil terutamanya di kilang-kilang lama.  Kemusykilan terhadap kadar perahan yang rata-rata hanya mencecah sekadar 20% purata adalah sentiasa menjadi persoalan dan perdebatan antara pihak kilang dan pihak ladang.

Isu ini pernah dibangkitkan juga di PIPOC 2009 yang mana ada persoalaan berkenaan sistem pengilangan yang masih belum berubah atau masih menggunakan konsep tradisional.

Impian…
Sekiranya penyelidikan pengilangan dilakukan secara konsisten, saya percaya mungkin satu hari nanti akan ada peningkatan terhadap sistem pengilangan yang cekap yang boleh mengurangkan atau menghindarkan terus kehilangan minyak.  Mungkin juga akan ada sistem kilang yang tidak lagi menggunakan sistem sterilizer atau sekurang-kurangnya ada satu sistem yang boleh menggantikan sterilizer yang dapat mengurangkan peratus kehilangan minyak yang agak tinggi dibahagain ini ataupun skru pemerahan diganti dengan sistem perahan tekanan vakum yang mungkin lebih efisyen.

Kemungkinan penggunaan sistem robot dan perkomputeran canggih.    Kandungan minyak dalam buah tandan yang dihantar dapat ditentukan hanya menggunakan mesin pengimbas yang ‘advance’.  Ketepatan mesin tersebut pula boleh mencapai sehingga 99.5%. Jadi kadar perahan minyak boleh ditentukan dan sebarang masaalah untuk memperolehi target perahan boleh diatasi dengan lebih tepat.  Kehilangan minyak bagi setiap stesen pemprosesan boleh dikesan dengan tepat oleh sistem robot.

Mungkin juga sistem dandang yang panas akan digantikan dengan teknologi dandang yang bersuhu sejuk.  Sesuatu yang sangat berlawanan akan tetapi ia tidak mustahil.

Satu ketika nanti mungkin juga akan ada satu sistem yang hanya dikawal oleh beberapa individu sahaja dan dikawal dalam bilik berhawa dingin tanpa kebisingan melampau. Secara tidak langsung ia akan mengurangkan tenaga kerja dan meningkatkan produktiviti yang juga akan meningkatkan pendapatan pekerja.
Nah, sekali lagi mandat perdana menteri untuk mencapai negara berpendapatan tinggi adalah tidak mustahil walaupun bekerja dikawasan terpencil seperti di Kilang-kilang sawit yang terletak lebih 50km daripada jalan berturap.

Ia mungkin hanya satu impian yang agak mustahil untuk dicapai.  Namun dengan kepesatan teknologi, sesuatu yang mustahil boleh menjadi realiti.

“Kemajuan teknologi memungkinkan sesuatu yang tidak tergambar pada hari kini akan direalisasikan pada hari esok"
READ MORE » "Adavance Milling"

"Advance Mechanisation"


Suka atau tidak, mekanisasi dan robotik adalah penting untuk meningkatkan martabat industri sawit ke satu tahap yang lebih tinggi.  Melalui mekanisasi, produktiviti boleh ditingkatkan seterusnya pekerja boleh dikurangkan.

Bayangkanlah pada satu ketika nanti, mungkin akan tiada lagi pekerja yang sanggup bekerja diladang, tak ke haru-biru – buah sawit beribu-ribu tandan, akan tetapi kalau tiada pemotong buah, maka takdelah maknanya buah yang beribu-ribu tu.

Nah, sekarang ini pun sudah terasa keperitan mengurus ladang dengan jumlah pekerja yang kurang.  Ramai yang merungut tentang kesukaran untuk mengambil pekerja asing.

Kehilangan hasil pula dianggarkan melebihi 20% akibat daripada kekurangan tenaga pekerja. Katalah purata hasil ialah 22 ton/ha, jadi kalau hasil jatuh sebanyak 20%, maka hasil yang hilang itu adalah dianggarkan lebih kurang 4 ton/ha atau 18 juta ton daripada 4.5 juta kawasan tanaman sawit di Malaysia dan kalau kita andaikan purata perahan minyak hanya sekadar 18% dan harga CPO sekitar RM2500, maka kerugian yang dianggarkan boleh mencapai sehingga RM8.1 billion – fuyoo, banyak tu.  Jadi adakah masih relevan sekiranya kita terus-menerus bergantung kepada tenaga kerja asing… 
Sebenarnya, pihak MPOB dan juga syarikat-syarikat perladangan secara progresifnya telah dan sedang menjalankan kajian mekanisasi ladang bertujuan mengurangkan kebergantungan tenaga kerja manusia.  Bermacam-macam alatan yang digunakan bagi mengurangkan beban kerja manusia.  Untuk mengangkat buah daripada dalam ladang ke platform pengumpulan saja, sudah ada bermacam-macam inovasi, antaranya kereta sorong yang dipasang enjin. ‘’Mechanical buffallo’, Kubota (tractor kecil),  motorsikal yang dipasang ‘cart’, dan tak lupa juga kaedah tradisional iaitu menggunakan kerbau yang dipasang dengan ‘cart’.   Cantas pula adalah sabit yang bermotor yang digunakan untuk memotong buah.

Bagi tujuan pembajaan, spreader adalah yang paling popular.   Mistblower iaitu pam yang bermotor, kebiasaanya digunakan untuk menyembur racun.  Sebenarnya ada banyak lagi inovasi mekanisasi, cuma ianya kurang mendapat sambutan disebabkan beberapa faktor yang melibatkan kesesuaian dan tahap ekonomiknya contohnya, jentera penuai, vakum biji sawit dan sebagainya.

Inovasi yang dihasilkan masih lagi belum memberikan impak yang tinggi terhadap industri sawit.   Penggunaan teknologi ‘autopilot robotik’ atau ‘mechatronic’ yang memerlukan hanya seorang atau dua operator berkemahiran tinggi dalam kerja-kerja ladang masih lagi jauh ketinggalan. 

Saya rasa ada beberapa faktor yang mungkin menyumbangkan kajian atau percubaan ‘autopilot robotik’ atau ‘mechatronic’ ini jauh daripada mendapat keutamaan dalam penyelidikan.  Faktor-faktor seperti topografi, iklim/cuaca lembab dan morfologi pokok sawit itu sendiri menyukarkan kajian bagi menggunakan peralatan canggih tersebut.  Disamping itu juga, kemungkinan masih lagi terdapat lambakan tenaga pekerja.  Ditambah pula  faktor budget kewangan yang agak besar bagi merealisasikan projek-projek kajian bagi penggunaan teknologi tersebut.
 
Pada pandangan saya, penyelidikan penggunaan ‘autopilot robotic’ perlu dimulakan dan diteruskan sekiranya kita hendak meningkatkan industri sawit ketahap yang lebih tinggi dan lebih berdaya saing.  Tumpuan perlu diberikan kepada proses kerja yang agak mudah dahulu contohnya kerja penyemburan racun rumpai.  Saya akui, bahawa menuai dan membaja adalah 2 kerja yang terpenting.  Namun kerja-kerja ini melibatkan beban angkatan yang besar, manakala penuaian buah pula memerlukan pemilihan buah masak yang tepat di tambah pula ketinggian pokok sawit yang pelbagai.

Proses penyelidikan ini mestilah bermula daripada pendigitalan ladang yang juga termasuk pemetaan setiap pokok dan topografi yang tepat.  Setiap teres (sekiranya ada) perlu direkodkan dan dipetakan.  Koordinat setiap pokok juga perlu diambil secara relatif yang saling berhubung diantara satu sama lain.  Ini kerana penggunaan GPS untuk memandu robot secara tepat adalah sukar disebabkan keadaan kanopi sawit dan juga topografi yang mungkin menyekat isyarat radio GPS.
   
Kenapa ditumpukan kepada kerja meracun? Kerana kerja meracun tidak membawa beban yang banyak.  Mungkin dengan ketepatan penyemburan dan formulasi baru, beban racun dan air yang dibawa tidak melebihi 10lts bagi menyembur kawasan seluas 3 hektar untuk kadar racun 1.5 lts/ha dan campuran air pada nisbah 1:1.  

Andaikata, 1 operator berkemahiran tinggi dan 5 tenaga pekerja biasa boleh mengawal 5 mesin-robot bagi menyembur kawasan seluas 100 hektar sehari, maka ini bersamaan dengan 25 orang tenaga kerja bagi penyemburan racun secara konvensional. Produktiviti penyemburan racun boleh ditingkatkan dan seterusnya seterusnya dapat meningkatkan pendapatan pekerja ladang. 

“Kadang-kadang kejayaan boleh bermula daripada impian yang tidak masuk akal”
READ MORE » "Advance Mechanisation"

Penafian

Blog Sawitbiz di bangunkan adalah bertujuan untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pendapat peribadi penulis sepanjang berkecimpung dalam dunia industri kelapa sawit.  Penulis dengan sedaya upaya akan membekalkan maklumat yang tepat berkenaan dengan industri kelapa sawit bersesuaian dengan kapasiti pengetahuan dan pengalaman penulis, namun sebagai manusia biasa penulis tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan dengan itu penulis memohon ampun dan maaf sekiranya maklumat yang diberikan tidak menepati kehendak pembaca.  Penulis juga dengan rasa berat hati tidak dapat bertanggungjawab diatas sebarang kerosakkan atau kerugian yang mungkin boleh dialami oleh pihak pembaca sekiranya mengambil maklumat yang terdapat didalam blog sawitbiz ini.

Pambaca boleh meneruskan untuk melayari sawitblog sekiranya pembaca bersetuju untuk bertanggungjawab diatas sebarang maklumat yang terdapat di sawitbiz.
READ MORE » Penafian

"Advance Planting Material"

Planting material adalah sangat penting dan sememangnya sangat mempengaruhi industri sawit lebih-lebih lagi dengan kesukaran untuk mendapatkan kawasan baru bagi tanaman sawit.  Sekarang ini jumlah kawasan bertanam di Malaysia sudah mencapai 4.5 juta hektar.  Baki kawasan yang sesuai untuk tanaman sawit pula hanya tinggal kurang daripada sejuta hektar.  Jadi, dengan kawasan yang terhad, maka adalah penting untuk menanam pokok sawit yang boleh mencapai hasil yang tinggi.

Dari itu kajian biak baka yang konsisten dan berterus adalah sangat penting untuk memastikan industri sawit sentiasa berkembang maju dan sentiasa dapat ditingkatkan kepada tahap yang lebih berdaya saing.
Selain daripada MPOB, pihak syarikat perladangan yang mempunyai makmal biak baka telah mempunyai baka-baka sawit elite yang diperolehi hasil daripada penyelidikan dan pemilihan secara saintifik.  Namun penyelidikan biak baka masih lagi dijalankan secara konsisten kerana masih ada ruang lagi untuk memperolehi hasil yang mungkin diluar jangkaan.

Pada peringkat individu, baka sawit daripada ‘elite material’ ini telah mencapai pengeluaran buah tandan segar (BTS) sehingga 400-500kg setahun (menyamai 50-60 ton/ha) dan kadar perahan minyak secara analisa makmal (OB) mencapai sehingga 30%-35% (18 tan/ha minyak).  Namun sasaran nasional bagi mendapatkan buah tandan segar sebanyak 35 tan/ha dan kadar perahan 25% atau 8.75 tan/ha minyak masih belum lagi tercapai.  Pada ketika ini hasil purata nasional masih lagi pada tahap 3.75 tan/ha minyak.

Pengeluran biji benih berprestasi tinggi (sebagaimana rekod individu) secara komersil adalah sukar untuk dicapai.  Pengeluaran biji sawit bukanlah seperti pengeluaran kereta proton yang boleh di cetak hampir 100% serupa.  Pengeluaran benih sawit tertakluk kepada faktor-faktor biologi dan genetik yang tidak boleh 100% diturunkan oleh kacukan ibu-bapa.  Maksudnya, adik beradik daripada ibu-bapa sama tidak semestinya mempunyai sifat atau prestasi yang sama, macam kita juga le, kalau abang kita mempunyai bakat bersukan , kita belum tentu ada bakat yang sama.  Walaupun ada baka elite, akan tetapi belum tentu kesemua anak-anak daripada kacukan baka elite boleh mengeluarkan hasil yang tinggi.

Maka timbullah penklonan bagi mendapatkan keseragaman diantara adik-beradik.  Secara dasarnya, teknologi pengklonan membolehkan ciri-ciri genetik pokok induk (ortet) boleh diturunkan kepada klon-klonnya.  Namun masih ada juga abnormaliti yang diperolehi, mungkin disebabkan kesilapan teknik, berlaku pencemaran atau ‘stress’ semasa proses penklonan dijalankan.  Pokok klon ini mahal sikit.  Biasanya sekitar RM20-RM30, 2 kali ganda berbanding pokok DxP

Impian…
Bayangkanlah sekiranya pada satu hari nanti ada ‘advance material’ yang benar-benar mempunyai hasil yang amat tinggi yang konsisten, tahan terhadap penyakit dan kemarau.  Hasil buah tandan segar yang boleh mencapai sehingga 60-70 tan/ha/tahun dengan kadar perahan mencapai sehingga 40%.   Melalui teknologi pengklonan yang maju, baka-baka sawit yang beprestasi tinggi ini dapat di hasilkan secara komersil.
Saya rasa masalah buruh mungkin boleh diselesaikan.  Manakan tidak, dengan harga hanya sekitar RM2000.00 per ton CPO, satu tandan bersaiz 25kg boleh mencecah sehingga RM20.00.  Kadar upah untuk satu tandan juga boleh dinaikkan sehingga RM3.00 dan dalam satu hari, hanya perlu berjalan kira-kira 1 hektar sahaja bagi mendapatkan 100 tandan.  Untuk 26 hari bekerja, seorang pemotong buah boleh memperolehi sehingga RM7800.  Namun yang paling untung masih lagi tuan punya ladang. Keuntungan kasar yang boleh diperolehi bagi setiap hektar boleh mencapai sehingga RM48,000.00/ha/tahun (belum tolak kos), Ahamdulillah, kaya peneroka…

Saya rasa pada ketika ini, mereka yang berkelulusan ijazah juga akan berlumba-lumba untuk memohon jawatan sebagai pemotong buah atau post glamournya sebagai ‘Harvesting engineer’.  Mungkin juga, akan tiada jawatan pengurus ladang, sebab pengurus juga akan turut serta memotong buah.  Lapang le dada kementerian sumber manusia… takde lagi complain tak cukup tenaga pekerja…Malah cita-cita PM kita untuk mewujudkan Negara berpendapatan tinggi juga boleh tercapai bukan sahaja dibidang teknikal malah mereka yang bekerja diladang-ladang juga boleh memperolehi pendapatan tinggi.  Pengawalan untuk menyekat kemasukan PATI pun mungkin juga akan mudah atau mungkin juga sebaliknya.

Impak impian..
Walaubagaimnanapun ada juga perkara yang perlu dikhuatiri sekiranya impian tercapai.   Antara impak negatif yang berpotensi ialah:-
Pertamanya, harga yang mungkin tidak boleh bertahan kerana lebihan minyak yang melampau. ( Pengeluarannya akan melebihi 3-5 kali ganda dari sekarang).
Keduanya, harga baja yang melampau kerana keperluan baja yang akan melambung tinggi.
Ketiganya, kecurian buah yang sukar dikawal.
Keempatnya, boleh berlaku kekurangan pekerja di sektor lain.
Samada tercapai atau tidak impian itu, waallahuaalam, hanya tuhan sahaja yang tahu. Namun, impian yang tinggi perlu ditanam dan dijaga agar suatu hari nanti boleh dituai dan dinikmati.  Program kajian biak baka adalah satu proses yang panjang.  Kalau impian tidak boleh dicapai dalam masa terdekat, apasalahnya kalau ianya boleh dinikmati oleh cucu-cicit kita.  Kajian demi kajian perlu dijalankan.  ‘Long term target’ dan kesinambungan kajian perlu direalisasikan agar impian walau setinggi mana atau segila manapun boleh dicapai satu hari nanti.

“Saintis yang cemerlang akan diingati selepas ketiadaannya”.
READ MORE » "Advance Planting Material"

Anak Pokok

Tidak boleh dinafikan lagi, kualiti biji benih adalah sangat penting dan sangat mempengaruhi hasil tanaman dan keuntungan.  Dari itu pembelian biji benih sawit atau anak pokok sawit mestilah dilakukan dengan berhati-hati dan mesti diperolehi daripada nurseri atau makmal biak baka yang bertauliah.  Sebarang kecurigaan terhadap lesen tauliah mestilah diabaikan. 

Penawaran terhadap bahan tanaman yang murah perlu dielakkan kerana dikhuatiri ada muslihat terselindung, takut terbeli pokok ‘culling’ atau pokok jantan dan lebih teruk lagi anak pokok DBP (anak sawit yang tumbuh liar Di Bawah Pokok).  Pernah juga satu kes yang saya dengar dimana ada yang menyamar sebagai pengurus nurseri dan menipu pembeli dengan tawaran murah dan pembeli pula perlu membayar 10% deposit tempahan kepada beliau. Lepas bayaran dibuat, apalagi, beliau cabut dan pembeli melopong…. Nasib badan.




Penipuan sebegini biasanya berlaku apabila permintaan biji sawit tinggi yang mana ia juga secara tidak langsung dipengaruhi oleh harga minyak sawit yang tinggi. Maklumlah, keuntungan sawit yang lumayan, berlumba-lumbalah nak tanam sawit.  Bukan itu sahaja, harga tanah untuk tanaman sawit juga melambung.  


Ilmu sawit adalah penting. Timbalah ilmu sawit sebanyak mungkin sebelum memulakan penanaman sawit.  Ilmu dan teknik mengenalpasi anak pokok sawit juga adalah penting.  Buat tempahan lebih awal, sekurang-kurannya 6 bulan sebelum menanam.  Kalau berkesempatan, adalah lebih baik sekiranya dapat memilih anak pokok pada ketika berusia 8-9 bulan dan buat pilihan sekali lagi pada ketika umur 12 bulan atau sebelum ditanam.  Ini dapat mengelakkan daripada terbeli pokok yang sepatutnya di’culling’ pada umur 8-9 bulan. 


Sekiranya anda ada masaalah untuk memilih pokok sawit, sila email kepada saya, InsyaAllah, saya akan cuba membantu selagi boleh.


Sekian selamat membeli.
READ MORE » Anak Pokok

Penulis

Penulis lebih selesa dikenali sebagai Namaz.  Penulis dibesarkan berpersekitaran pokok sawit dan kilang kelapa sawit.  Penulis dibesarkan dengan hasil tanaman sawit dan kini, penulis pula membesarkan anak-anak dengan hasil tanaman sawit, cuma yang bezanya, ialah bapa penulis adalah seorang peneroka manakala penulis pula makan gaji.

Dizaman kanak-kanak, penulis mengenali pokok sawit hanya sebagai pokok sawit – yang penting bagi penulis pada ketika itu ialah kolam dan parit yang terdapat di dalam ladang sawit dan tak lupa juga kolah (tempat simpanan air) yang terdapat dalam kilang (kebetulan kilang sawit hanya beberapa ratus meter sahaja daipada rumah bapa penulis).  Disitulah tempat bermain penulis – tak kiralah untuk mandi secara formal, ambil air untuk memasak, berkubang, memancing atau pasang jerat puyuh/ayam.  Zaman dulu, paip air kerumah sememangnya sudah tersedia akan tetapi yang keluar tu Cuma ‘AIR’ je bukannya air… ….hehehe (‘AIR’=Udara)

Biji sawit….
Yang paling penulis tidak boleh lupakan dizaman kanak-kanak ialah pengalaman makan biji sawit rebus… habis oren kekuningan gigi masing-masing… Penulis masa sekolah rendah dulu sudah pandai main masak-masak dengan kawan-kawan,… Kami masak menggunakan dapur buatan sendiri - ranting kayu dan 3 biji batu berbentuk hampir bulat sebagai tunku menjadi mangsa kami sebagai dapur.  Periuknya pula adalah daripada tin susu yang telah dibersihkan.  Mancis, garam dan gula diambil secara senyap-senyap daripada dapur mak le…. Tapi kami tak buat dapur tu dalam rumah, kebetulan laman rumah kami luas…jadi banyak le tempat untuk operasi memasak tu…Oops, lupak lak nak bagitau macamana rasanya… untuk makluman, pada ketika tu, fuhhh memang sedap sawit rebus ni.. yelah.. masa tu susah nak dapatkan biskut dengan roti untuk makanan petang…

Polibeg…
Ha.. satu lagi yang best tentang sawit masa zaman kanak-kanak penulis ialah mengisi tanah dalam polibeg… dapat upah tau.. Satu beg kalau tak silap upahnya lima sen, jadi kalau sepuluh dapat le 50 sen…. Banyak tu…haa, bila dah dapat duit,  biji sawit rebus dah jadi pilihan kedua lah, maklumlah dah boleh beli makanan ringan atau aiskrim …

Penyapu lidi..
Ini satu lagi income penulis masa zaman kanak-kanak…. Penulis takle jual penyapu lidi ni, cuma tolong kawan punya abang ambil dan raut lidi sawit untuk dibuat penyapu… dapat le upah sikit…..

Ketuk kernel..
Zaman ketuk kernel ni sudah berlalu masa penulis membesar… akan tetapi, kakak dan abang penulis pernah melaluinya… merekalah yang menceritakannya kepada penulis…. teruk juga kerja ketuk kernel ni… yang kelakarnya, masa diaorang cerita, ada satu ketika, kernel yang diketuk terpelanting ke ‘anu’ abang saya (masa tu dia masih kecil lagi), apalagi tetiba menjeritlah kawan tu… suspen le sekejap, semua yang ada kat situ terus terlompat, ingat ada ular… bila diingatkan, ketawa terbahak-bahak le diorang.. penulis cuma tumpang ketawa je bila mendengar cerita diorang ni.

Bahasa Inggeris…
Pada mulanya saya tidak berapa faham apa yang ibu saya maksudkan apabila dia menyebut perkataan seperti rokal, brauning dan widing.  Namun apabila saya mula bekerja dalam perladangan barulah saya dapat tangkap apa yang dimaksudkan.  Rupa-rupanya perkataan yang disebut itu adalah perkataan Inggeris, Kelas ibuku gitu.. Tak sekolah pun pandai cakap orang putih.  Kalau yang dah biasa dengan kerja di estate mesti dah dapat tangkap perkataan yang dimaksudkan.  Bagi yang tak biasa, perkataan rokal tu sebenarnya ialah roll call  iaitu term yang digunakan untuk perkerja berkumpul, kebiasaannya dihadapan pejabat ladang pada awal pagi sebelum pergi ke ladang.  Perkataan brauning pula adalah untuk pruning, iaitu kerja memangkas pelepah sawit, manakala perkataan widing pula adalah weeding, iaitu kerja-kerja merumput.
READ MORE » Penulis